GELOMBANG KETIGA PANDEMIK COVID-19 DI MALAYSIA
15 Disember 2020 - Malaysia telah dilanda gelombang ketiga pandemik COVID-19 sejak 20 September 2020. Bilangan kes COVID-19 mulai meningkat kepada tiga angka. Gelombang ketiga ini telah bermula di negeri Sabah dan juga melibatkan negeri lain di Semenanjung Malaysia seperti negeri Kedah, Selangor dan sebagainya. Susulan itu, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mengikut situasi semasa COVID-19 di beberapa kawasan yang terlibat. PKPB dan PKPD di kebanyakan negeri telah ditamatkan pada 6 Disember 2020.
Berdasarkan capaian data nasional, bilangan kumulatif kes COVID-19 adalah meningkat dari 32,505 pada 1 November 2020 meningkat kepada 84,846 kes pada 14 Disember 2020, iaitu peningkatan sebanyak 161% dalam masa 6 minggu. Kumulatif kes kematian yang dilaporkan meningkat dari 249 kes pada 1 November 2020 kepada 419 kes pada 14 Disember 2020, iaitu peningkatan sebanyak 68%, walau bagaimanapun kadar kematian masih rendah iaitu 0.49% berbanding kadar kematian global iaitu 2.2%. Tambahan lagi, kadar sembuh juga tinggi iaitu 83% berbanding kadar sembuh global iaitu 70%.
Peningkatan kes COVID-19 disebabkan pelbagai faktor antara lain adalah berikutan saringan yang dijalankan ke atas pekerja asing khususnya warga asing di kilang dan tapak binaan. Selain itu, terdapat juga beberapa kluster yang berpunca dari ketidakpatuhan garis panduan pencegahan penularan COVID-19 yang ditetapkan ketika menyertai majlis yang melibatkan ramai orang seperti Kluster Enggor di Perak, Kluster Indah Mas di Wilayah Persekutuan serta Kluster Inai dan Kluster Jambul di Sabah. Selain itu juga, kluster kes positif COVID-19 juga melibatkan Orang Kena Tahan (OKT) di beberapa penjara seperti Kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu, Kluster Tembok di Alor Setar, Kluster Penjara Jawi di Pulau Pinang dan Kluster Penjara Jalan Harapan di Selangor. Selain itu, terdapat kluster yang berkaitan dengan Depoh Tahanan Imigresen dalam kalangan pendatang tanpa izin.
Penularan jangkitan COVID-19 dapat diramalkan dengan pelbagai cara, antaranya melalui Nilai R. Semakin tinggi Nilai R, semakin ramai yang berkemungkinan akan mendapat jangkitan, misalnya jika Nilai R adalah 4, bermaksud 1 kes positif boleh menjangkiti 4 individu lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Pada permulaan PKP pada 10 Mac 2020, Nilai R ketika itu adalah 3.5. Susulan impak positif tindakan yang telah diambil oleh kerajaan serta pematuhan oleh rakyat kepada perintah dan SOP yang diperkenalkan, Nilai R ini telah berjaya diturunkan sehingga 0.3. Oleh itu, Nilai R juga boleh menunjukkan keberkesanan tindakan kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, pada 14 Disember 2020 Nilai R yang dilaporkan telah meningkat kepada 1.06. Oleh itu, KKM berharap agar semua lapisan masyarakat akan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 dan menghentikan pandemik ini.
Datuk Dr. Hj. Rohaizat b. Hj. Yon
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)
Kementerian Kesihatan Malaysia
Rujuk : FB Program Perubatan KKM