Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 741 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 80,931 kes. Tiga (3) kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu Putatan, Penampang dan Kudat masing-masing mencatatkan satu (1) kes. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.
Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 652 menjadikan jumlah kumulatif 74,737 orang. Seramai 3,554 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 685 orang di hospital, 2,740 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 129 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 80 orang dan 19 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Daerah Tenom dan Kuala Penyu berubah dari zon jingga ke zon merah.
Jumlah kes positif COVID-19. Sabah pada hari ini ialah (741) kes iaitu peningkatan sebanyak (21) kes berbanding (720) kes yang dicatatkan semalam (26 Julai 2021).
Sebanyak (379) kes atau 51.15% penyumbang utama jumlah kes hari ini adalah dari Saringan Kontak Rapat, diikuti tambahan kes dari Saringan Kluster Sedia Ada dengan (101) kes atau 13.6 % dan Saringan Bergejala sebanyak (129) kes atau 17.41% dari kumulatif kes harian Negeri Sabah. Manakala Saringan Bersasar merekodkan (53) kes atau 7.15%.
Empat (4) kluster baharu dilaporkan hari ini dan menyumbang (41) kes iaitu:
☣️ Kluster Jalan Penampang, Penampang. (Tempat Kerja disebuah pasaraya)
☣️ Kluster Inderasabah,Tawau. (Kluster Komuniti)
☣️ Kluster Jeti Kudat, Kudat. (Tempat kerja iaitu pendaratan ikan bot-bot nelayan)
☣️ Kluster Industri Kolombong Kota Kinabalu, (Tempat kerja di gudang penyimpanan minyak masak)
Sejumlah 74% daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu (257) kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak (291) kes sekadar mengalami simptom ringan (mild). Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC.
Seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID- 19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak (379) kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.
Terdapat empat (4) kluster baharu direkodkan hari ini.
☣️ i Kluster Jalan Penampang - Penampang melibatkan pekerja-pekerja di sebuah pasaraya besar di Jalan Penampang, Pekan Koidupan. Kes indeks merupakan juruwang wanita, 25, yang disahkan positif COVID-19 pada 26 Julai 2021 melalui saringan bergejala dengan keputusan RTK-Ag grading 29%. Saringan kontak rapat mendapati 28 lagi kes positif masing-masing 10 kes dan 18 kes pada 27 Julai dan 26 Julai 2021 dalam kalangan rakan sekerja dan keluarga. Pertambahan angka tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster jenis tempat kerja ini ialah sebanyak 29 kes. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan siasatan lanjut masih giat dijalankan.
☣️ ii Kluster Inderasabah - Tawau merupakan kluster komuniti yang berlaku di Mukim Balung , Daerah Tawau. Kes indeks adalah pekebun sawit, lelaki, 30, telah disahkan positif (RTK-Ag grading 80%) pada 24 Julai 2021, selepas bergejala sejak 14 Julai 2021. Kes indeks yang bekerja sendiri tinggal di Kg Darat, Inderasabah bersama dengan 13 ahli keluarga. Selain saringan kontak rapat, saringan kontak sosial juga dilakukan terhadap tiga (3) kontak di Blok C, PPR Taman Sri Apas dan mendapati dua (2) daripadanya adalah positif. Setakat ini, 17 kontak telah disaring dan 14 daripadanya didapati positif termasuk 11 kes baharu. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak-kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.
☣️ iii Kluster Jeti Kudat - Kudat yang merebak di tempat kerja pada hari ini, menokok 11 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 44 kes. Kluster ini mula dikesan melalui saringan bergejala terhadap kes indeks, wanita, 51, peniaga bukan warganegara di Jeti Kudat disahkan positif COVID-19 dengan keputusan PCR dengan CT Value 22.66 di Hospital Kudat pada 15 Julai 2021. Berikutan pertambahan bilangan kes positif di Jeti Kudat, Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat melakukan saringan bersasar ke atas semua individu yang terlibat dengan aktiviti perniagaan dan perusahaan ikan di daerah Kudat bermula 21 hingga 26 Julai 2021. Sebanyak 237 sampel saringan bersasar diambil dalam tempoh berkenaan. Aktiviti pengesanan kontak rapat, disinfeksi dan kawalan penyebaran penyakit masih giat dijalankan.
☣️ iv Kluster Industri Kolombong - Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran berlaku dalam kategori tempat kerja melibatkan gudang minyak masak di Kolombong. Kes indeks bagi kluster ini adalah pembantu pemandu, lelaki, 26, yang mula bergejala sejak 17 Julai 2021, sebelum disahkan positif COVID-19 dengan keputusan PCR dengan bacaan CT Value 24.7 di Klinik Kesihatan Penampang pada 19 Julai 2021. Kes indeks juga telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut. Hasil saringan kontak, kluster ini merekodkan 23 kes positif secara kumulatif dengan mendaftarkan kes dengan kaitan epidemiologi di daerah lain. Bagi Kota Kinabalu lapan (8 kes didaftarkan termasuk satu (1) kes baharu hari ini, sementara Penampang 12 kes dan Tuaran dengan tiga (3) kes. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak-kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.