SITUASI SEMASA KLUSTER COVID-19 DI MALAYSIA (21/02/2022)
Dari 25 Januari 2020 hingga 19 Februari 2022, CPRC Kebangsaan telah melaporkan sebanyak 6,704 kluster yang melibatkan 538,554 kes. Rumusan kluster mengikut kategori dari tahun 2020 hingga tahun 2022 (sehingga 19 Februari 2022) adalah seperti di Graf 5. Sebanyak 6,212 kluster telah tamat menjadikan jumlah kluster yang masih aktif sehingga 19 Februari 2022 sebanyak 492 kluster.
Pecahan kes dalam kluster mengikut kategori (Graf 6) adalah:
- Kluster Tempat Kerja (58.71%);
- Kluster Komuniti (20.54%);
- Kluster di Pusat Tahanan (7.63%);
- Kluster Pendidikan (6.83%); dan
- Lain-lain: Kluster Aktiviti Keagamaan, Kumpulan Berisiko, dan Kluster Kes Import.
Pada tahun 2022 (1 Januari 2022 hingga 19 Februari 2022), sebanyak 573 kluster telah dilaporkan, di mana:
- Kluster Pendidikan: 367 kluster (63%);
- Kluster Tempat Kerja : 119 kluster (20.8%);
- Kluster Kumpulan Berisiko : 36 kluster (5.7%;
- Kluster Komuniti : 27 kluster (6.3%);
- Kluster Import: 12 kluster (2.1%);
- Kluster Pusat Tahanan : Lapan (8) kluster (1.4%); dan
- Kluster Aktiviti Keagamaan : Empat (4) kluster (0.6%).
TREN KLUSTER DILAPORKAN MENGIKUT MINGGU EPIDEMIOLOGI DAN KATEGORI BAGI TAHUN 2022 [SEHINGGA MINGGU EPIDEMIOLOGI (ME) 7/2022]
Pada ME 7/2022, terdapat 118 kluster telah dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan berbanding 97 kluster pada ME 6/2022. Peningkatan ini adalah sebanyak 21.6 peratus berbanding ME sebelumnya.
Kategori kluster yang menunjukkan peningkatan pada ME 7/2022 ini adalah:
- Kluster Pendidikan meningkat daripada 61 kluster pada ME 6/2022 kepada 92 kluster pada ME 7/2022; dan
- Kluster Pusat Tahanan meningkat daripada tiada kluster pada ME 6/2022 kepada tiga (3) kluster pada ME 7/2022.
KLUSTER PENDIDIKAN MENGIKUT TARIKH KLUSTER DIUMUMKAN (1 JANUARI-19 FEBRUARI 2022)
Bermula 1 Januari 2022 sehingga 19 Februari 2022, terdapat 367 kluster pendidikan telah dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 21 kluster pendidikan telah tamat manakala 346 kluster pendidikan lagi masih aktif.
Trend mingguan kluster pendidikan telah menunjukkan peningkatan yang ketara daripada ME 1/2022 sehingga ME 7/2022. Walau pun terdapat trend penurunan pada ME 5/2022 disebabkan cuti perayaan Tahun Baru Cina, namun, trend ini dilihat kembali meningkat pada ME 6/2022 dan ME 7/2022 berkadaran dengan peningkatan kes yang ketara di seluruh negara.
Berdasarkan Graf 9, negeri yang melaporkan kluster pendidikan paling tinggi adalah Kelantan (54 kluster), diikuti oleh Selangor (49 kluster), Pahang (38 kluster), WP Kuala Lumpur (37 kluster), dan Sabah (34 kluster).
- Siasatan mendapati 328 kluster (89.4 peratus) dengan kes indeks merupakan pelajar, manakala 31 kluster (8.5 peratus) dengan kes indeks merupakan guru atau pensyarah. Sebanyak 6 kluster (1.6 peratus) dengan kes indeks daripada kalangan kakitangan sokongan pusat pendidikan dan baki 2 kluster (0.6 peratus) dengan keluarga sebagai kes indeks.
- Majoriti kes yang dilaporkan adalah kategori bergejala ringan atau tiada gejala. Sebanyak 12,579 kes (76.4 peratus) adalah dari kategori 2, 3,850 kes (23.4 peratus) adalah dari kategori 1, dan 35 kes (0.2 peratus) dari kategori 3 dan 4. Semua kes telah mendapatkan rawatan dan stabil.
- Peringkat sekolah menengah melaporkan kluster paling tinggi iaitu sebanyak 232 kluster, diikuti kolej (68 kluster), sekolah rendah (25 kluster), universiti (22 kluster), dan prasekolah (20 kluster).
Kesemua 257 sekolah yang terlibat adalah daripada pelbagai agensi iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Maahad Tahfiz, dan lain-lain. Sehingga 19 Februari 2022, sebanyak 232 kluster melibatkan sekolah menengah dan 25 kluster melibatkan sekolah rendah yang masih aktif. Daripada jumlah tersebut:
- 107 sekolah (42.3 peratus) telah ditutup sementara untuk pembersihan dan dijadikan tempat kuarantin; dan
- 150 sekolah (58.4 peratus) hanya memerlukan penutupan kelas sahaja.
Siasatan KKM menunjukkan punca utama jangkitan dan penularan COVID-19 di kalangan warga pendidikan adalah disebabkan oleh:
- Ketidakpatuhan SOP di dalam dan di luar waktu pengajian formal terutamanya sewaktu di asrama atau di rumah sewa pelajar. Amalan pemakaian pelitup muka semasa berada di asrama didapati masih belum di tahap optimum;
- Pergerakan pelajar yang bebas dan pergaulan rapat semasa pelajar di asrama tanpa mematuhi nasihat 3S dan 3W.
- Terdapat juga pelanggaran nasihat penjarakan fizikal semasa aktiviti kerohanian di surau atau masjid;
- Individu bergejala lewat dikesan di mana pelajar tidak memaklumkan kepada penyelia sewaktu mula bergejala;
- Kakitangan bergejala didapati masih hadir ke kelas dan menyebabkan penularan jangkitan kepada pelajar dan kakitangan lain;
- Pelajar yang dikuarantin di kolej tidak mematuhi arahan kuarantin;
- Ruangan tumpuan pelajar tidak disinfeksi secara berkala; dan
- Sistem pengudaraan yang tidak optimum.
Cadangan Penambahbaikan
- Pelajar, guru, pensyarah atau anggota kumpulan pelaksana (AKP) yang keluar masuk ke sekolah disarankan untuk melakukan ujian pengesanan COVID-19 secara berkala dan melaporkan gejala termasuk pengasingan awal;
- Sistem untuk mengenal pasti pelajar yang bergejala dengan cepat perlu dipertingkatkan seperti melalui ketua kelas atau ketua asrama;
- Memastikan pengudaraan kelas, asrama, dan dewan sentiasa dalam keadaan yang optimum;
- Pemantauan pematuhan SOP oleh semua warga institusi pendidikan; dan
- Pembersihan dan disinfeksi permukaan yang kerap disentuh termasuk tandas dilakukan dengan lebih kerap.
Pengukuhan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)
- KKM menyeru supaya pelajar berusia 18 tahun, ibu bapa, atau penjaga pelajar, petugas dalam institusi pendidikan yang belum mengambil vaksin COVID-19 atau cicir dos kedua vaksinasi COVID-19 untuk mengambil vaksinasi secara walk-in di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) berhampiran dengan tempat tinggal mereka.
- Ibu bapa dan penjaga disarankan membawa remaja berusia 12 tahun hingga 18 tahun yang belum menerima vaksinasi COVID-19 agar segera mendapatkan vaksinasi.
- KKM sedang melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun bermula 3 Februari 2022. Ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang tinggal di Lembah Klang dipelawa untuk mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera bagi membolehkan mereka menerima tempahan janji temu.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM