SITUASI TERKINI PELAPORAN KES KEMATIAN COVID-19 PADA 9 MAC 2022
Dimaklumkan bahawa pada 9 Mac 2022, sebanyak 113 laporan kematian yang telah diumumkan dan ini menjadikan jumlah kematian yang disebabkan oleh jangkitan COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 33,497 kematian.
Sejak 1 Mac 2022, proses pengumuman laporan kematian yang disebabkan oleh COVID-19 telah ditambah baik di mana kematian perlu dilaporkan dalam tempoh 72 jam dengan sasaran yang ditetapkan adalah 80% daripada jumlah kes kematian. Ini akan mengurangkan pelaporan lewat kes kematian atau ‘backlog’.
Secara purata, dari 1 Mac 2022 hingga 8 Mac 2022, sebanyak 77% daripada laporan kematian adalah menepati tempoh ini. Ini menunjukkan bahawa pematuhan kepada pelaporan kematian dari lapangan didapati kian bertambah baik daripada sebelum ini. Walau bagaimanapun, pada 9 Mac 2022, daripada 113 kematian yang diumumkan, didapati hanya 65 kematian (58%) yang dilaporkan adalah menepati masa pelaporan dalam tempoh 72 jam. Manakala selebihnya iaitu 48 kematian (42%) telah dilaporkan melebihi 72 jam (Rajah 2).
Semakan KKM dengan semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mendapati bahawa kelewatan pelaporan kematian ini adalah disebabkan oleh faktor teknikal. Sebagai contoh, kes-kes kematian yang berlaku di hospital daerah yang terletak di kawasan pedalaman termasuk kes Brought in Dead (BID) yang memerlukan siasatan lanjut dan laporan daripada pakar perlu dikendalikan oleh hospital besar yang berdekatan.
Namun begitu, faktor kelewatan ini telah diteliti dan langkah penambahbaikan telah diambil bagi memastikan ketepatan masa atau ‘timeliness’ pelaporan kematian COVID-19 di Malaysia dapat dipertingkatkan lagi.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM