KEMATIAN PER 100K POPULASI MENGIKUT STATUS VAKSINASI SEHINGGA 16/03/2022
Fasa peralihan ke endemik akan menyaksikan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang akan meningkatkan mobiliti masyarakat. Dengan peningkatan mobiliti, risiko jangkitan COVID-19 juga akan meningkat terutamanya bagi kumpulan individu dengan komorbiditi, warga emas dan juga kanak-kanak yang belum divaksinasi.
Seperti yang diumumkan YAB Perdana Menteri, bermula 1 April nanti, sempadan negara akan dibuka, kedai-kedai makan sudah boleh beroperasi sehingga lewat malam dan saf solat jemaah juga sudah tidak ada lagi penjarakan.
Bagi memastikan kesemua aktiviti ini dapat disertai dan dilakukan dengan selamat, pastikan anda telah menerima vaksinasi dos penggalak bagi yang layak dan pastikan juga anak-anak anda mendapat perlindungan yang optimum daripada jangkitan COVID-19.
Data bagi setiap 100,000 populasi menunjukkan kadar kematian warga emas akibat COVID-19, terutamanya bagi yang belum menerima vaksinasi lengkap ataupun yang belum menerima dos penggalak, adalah jauh lebih tinggi berbanding kumpulan umur yang lain dan juga berbanding mereka yang telah menerima dos penggalak.
Lindungilah diri sendiri dan lindungilah keluarga serta seluruh komuniti dengan mendapatkan dos penggalak. Vaksinasi mampu melindungi diri dan individu berisiko tinggi termasuk warga emas daripada jangkitan serius COVID-19.