COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

A.I Based COVID-19 FAQ

PENILAIAN DAN PENENTUAN RISIKO (RISK ASSESSMENT) JANGKITAN DAN PENULARAN COVID-19 BAGI SESUATU KAWASAN

Secara umumnya, kaedah penentuan zon jangkitan COVID-19 berdasarkan bilangan kes harian dan jumlah kes kumulatif untuk tempoh 14 hari yang lepas adalah menjadi asas kepada District Risk Reduction Program (DRRP). Ia membantu pemahaman tindakan selanjutnya yang perlu diambil oleh komuniti dan dipandu oleh pihak Kerajaan di kawasan setempat.

Walau bagaimanapun, kaedah penentuan zon jangkitan COVID-19 bukan hanya bergantung kepada DRRP, sebaliknya lebih penting lagi ia mengambilkira risiko jangkitan dan penularan COVID-19 dalam sesuatu kawasan. Beberapa kriteria diambil kira dalam penilaian dan penentuan risiko (risk assessment) ini iaitu:

1. Kadar peningkatan kes

Peningkatan kes sama ada meningkat secara mendadak dalam tempoh masa yang singkat atau secara perlahan. Peningkatan kes yang mendadak menggambarkan kadar penularan jangkitan yang tinggi;

2. Taburan kes positif

Taburan kes dikenal pasti secara geomapping untuk menentukan sama ada kes-kes bertumpu atau bertaburan;

3. Peratusan bilangan kes tidak bergejala

Peratusan bilangan kes yang tinggi berkemungkinan menyebabkan penularan jangkitan yang tidak disedari oleh kes-kes terbabit;

4. Kepadatan penduduk di kawasan terlibat

Kawasan yang berkepadatan penduduk yang tinggi serta jenis tempat tinggal seperti rumah kongsi berisiko untuk meningkatkan penularan jangkitan;

5. Latar belakang sosiodemografi setempat

Faktor-faktor seperti penduduk bukan warganegara di sesuatu lokaliti, mobilisasi penduduk merentas mukim/ daerah/ negeri kerana keperluan bekerja atau bersekolah, kewujudan lorong-lorong tikus bagi kemasukan bukan warganegara dan sebagainya berisiko untuk meningkatkan penularan jangkitan;

6. Kewujudan infrastruktur gunasama di lokaliti seperti pasar, pasaraya, sekolah, rumah ibadat dan lain-lain premis yang menjadi tempat perkumpulan ramai; dan

7. Terdapat sejarah perhimpunan beramai-ramai di sesuatu lokaliti dalam tempoh kebolehjangkitan semasa kes mula dikesan.

Selain itu, impak tindakan kawalan dan pencegahan kesihatan awam yang telah dijalankan di kawasan setempat juga diambil kira, misalnya:

  • Bilangan kontak rapat yang dikaitkan dengan kes yang telah dikenal pasti;
  • Bilangan yang diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) termasuk yang dihantar ke stesen kuarantin; dan
  • Bilangan penduduk yang terlibat.

Namun begitu, bagi memudahkan pemahaman oleh masyarakat dan orang umum, pendekatan warna zon seperti yang digunakan untuk DRRP adalah digunakan iaitu zon hijau, zon kuning, zon jingga dan zon merah.

Next Post Previous Post