KONSEP YANG DIGUNAKAN DALAM PEMBERIAN NAMA BAGI KLUSTER BAHARU
KKM mengambil maklum pandangan orang umum mengenai konsep yang digunapakai KKM dalam menamakan kluster COVID-19. Untuk makluman semua, pemilihan nama kluster adalah berdasarkan latar belakang kes indeks bagi kluster tersebut. Nama kluster dipilih berdasarkan nama bangunan, taman atau jalan tempat kediaman atau tempat kerja kes indeks. Ini adalah bagi memastikan komunikasi berkesan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam kawalan dan pengurusan kluster.
Selain itu, nama sesebuah kluster juga boleh dipilih bagi menggambarkan cara penyebaran jangkitan di antara kes indeks dan kontak rapat seperti; Kluster Auto yang menggambarkan jangkitan kluster di tempat kerja melibatkan pekerja di syarikat automotif dan Kluster Inai yang menggambarkan jangkitan kluster bermula daripada majlis berinai.
KKM sangat berhati-hati dalam pemilihan nama kluster bagi mengelakkan sebarang keresahan dan stigma kepada pesakit, penduduk setempat mahu pun organisasi yang terlibat. KKM juga sentiasa melakukan pengesanan kes secara aktif di lapangan bagi memastikan kesemua yang terlibat disaring dan diasingkan daripada komuniti sekiranya didapati positif jangkitan COVID-19.
Bagi masyarakat, adalah penting bagi mereka memahami bahawa tindakan utama yang boleh melindungi mereka daripada dijangkiti COVID-19 adalah dengan mengamalkan segala nasihat seperti yang sering dimaklumkan oleh KKM dan juga dengan mematuhi segala Prosedur Amalan Standard (SOP) yang ditetapkan. Cabaran utama bagi kita semua adalah dalam melaksanakannya dengan sebaik mungkin dan dipatuhi oleh semua individu dari segenap lapisan masyarakat.