Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 720 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 80,190 kes. Enam (6) kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu empat (4) kes di Kota Kinabalu manakala Kota Marudu dan Sandakan masing-masing mencatatkan satu (1) kes. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.
Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 488 menjadikan jumlah kumulatif 74,085 orang. Seramai 3,507 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 673 orang di hospital, 2,563 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 271 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 77 orang dan 17 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Daerah Telupid dan Semporna berubah dari zon jingga ke zon merah.
Jumlah kes positif COVID-19 Sabah pada hari ini ialah (720) kes iaitu penurunan sebanyak (98) kes berbanding (818) kes yang dicatatkan semalam (25 Julai 2021).
Sebanyak (331) kes atau 45.97% penyumbang utama jumlah kes hari ini adalah dari Saringan Kontak Rapat, diikuti tambahan kes dari Kluster Sedia Ada dengan (226) kes atau 31.39% dan Saringan Bergejala sebanyak (103) kes atau 14.31% dari kumulatif kes harian Negeri Sabah. Tiada kluster baharu dicatatkan pada hari ini.
Untuk Saringan Kluster, Kluster Agathis adalah penyumbang tertinggi iaitu sebanyak (112) kes daripada keseluruhan (226) kes yang berpunca daripada Saringan Kluster. Bagi Saringan Kontak Rapat pula, Kota Kinabalu menyumbang kes tertinggi dengan (69) kes daripada kumulatif kes yang berpunca daripada Saringan Kontak Rapat iaitu (331) kes.
Sejumlah 83.6% daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu (255) kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak (347) kes sekadar mengalami simptom ringan (mild). Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC.
Seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID- 19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak (331) kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.