COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

KESIAPSIAGAAN COVID-19 BAGI NEGERI-NEGERI LEMBAH KLANG DAN PENUBUHAN PUSAT KAWALAN BERSEPADU COVID-19 WILAYAH TENGAH

Pada peringkat awal gelombang ketiga pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya menggunakan Hospital Sungai Buloh (HSgB) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai hospital perawatan COVID-19. Manakala Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah bagi pesakit kategori 1 dan 2 di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Putrajaya. Namun begitu, peningkatan jumlah pesakit COVID-19 di kawasan ini telah mengakibatkan hospital-hospital tersebut mencatatkan kadar penggunaan katil yang tinggi.

Justeru itu, sebagai langkah kesiapsiagaan lanjut bagi menampung kemasukan pesakit susulan lonjakan kes positif COVID-19 di negeri-negeri Lembah Klang, KKM telah mengambil langkah-langkah berikut:

  1. Menambah jumlah katil rawatan COVID-19 sedia ada di HSgB (ditingkatkan kepada 630 buah katil);
  2. Menambah jumlah katil rawatan COVID-19 sedia ada di HKL (ditingkatkan kepada 831 buah katil);
  3. Menukar status Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) kepada hospital hibrid COVID-19 dengan 230 buah katil COVID-19;
  4. Membuka semula lapan (8) blok Institut Latihan KKM (ILKKM) Sg Buloh sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah dengan kapasiti 2,400 buah katil; dan
  5. Meneruskan penggunaan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah dengan kapasiti semasa 648 buah katil.

Oleh itu, sehingga 18 November 2020, jumlah katil bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutan Putrajaya telah ditingkatkan hampir 14 kali ganda iaitu daripada 345 katil pada 1 Oktober 2020 kepada 4,739 buah katil.

Perancangan strategik bagi meningkatkan jumlah katil ini melibatkan enam (6) buah fasiliti iaitu HKL, HSgB, HRC, PKKN, ILKKM dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) di dua (2) buah negeri serta kerjasama pelbagai agensi iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Usahasama ini memerlukan koordinasi dan komunikasi yang jitu di antara semua agensi. KKM mengucapkan syabas dan terima kasih atas segala bantuan dan kerjasama rapat yang diberikan mereka.

Bagi melancarkan tadbir urus dan pengoperasian kesemua hospital dan PKRC di Selangor, WPKL dan Putrajaya, KKM dengan bantuan MKN telah menubuhkan PUSAT KAWALAN BERSEPADU COVID-19 WILAYAH TENGAH atau CENTRAL REGION COVID-19 UNIFIED COMMAND CENTRE yang akan diketuai oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, YBhg. Dato’ Indera Dr. Sha’ari bin Ngadiman dan dibantu oleh Dr. Sarah binti Shaikh Abdul Karim, Pakar Perubatan Kecemasan dari HSgB sebagai timbalan beliau.

Diharap kerjasama padu KKM dan agensi-agensi lain serta penubuhan CENTRAL REGION COVID-19 UNIFIED COMMAND CENTRE ini mampu melancarkan pengurusan wabak COVID-19 di Selangor, WPKL dan Putrajaya.

Next Post Previous Post