KEPENTINGAN PEMAKAIAN PELITUP MUKA DALAM FASA PERALIHAN KE ENDEMIK
Sebagaimana telah diumumkan Kerajaan, Malaysia kini berada dalam fasa peralihan ke endemik. Diingatkan sekali lagi bahawa fasa ini bukannya fasa endemik tetapi fasa peralihan sebagai persediaan menuju ke arah fasa endemik. Sama ada ianya fasa peralihan ke endemik, ataupun fasa endemik, ianya tidak bermakna bahawa bahaya virus SARS-CoV-2 boleh diabaikan. Masyarakat harus tetap berwaspada kerana virus ini masih wujud dan menular serta mengakibatkan kematian terutamanya di kalangan warga emas, kanak-kanak individu yang mempunyai sistem imuniti tubuh yang rendah, dan individu yang mempunyai komorbid.
Ini selaras dengan kenyataan Dr. Mike Ryan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di mana beliau menjelaskan bahawa istilah endemik merujuk kepada kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat, tetapi jangkitan berlaku pada kadar yang stabil. Namun, terdapat kemungkinan berlakunya peningkatan penularan secara bermusim ataupun gelombang jangkitan yang besar bersekali dengan peningkatan kejadian penyakit yang serius.
Dr. Mike Ryan juga mengingatkan bahawa terdapat beberapa penyakit seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV), Tuberkulosis, dan Malaria yang telah dikategorikan sebagai penyakit yang endemik di sebahagian kawasan di dunia, namun terus mengakibatkan kematian berjuta-juta orang setiap tahun. Beliau menjangkakan situasi yang sama juga mungkin berlaku sekiranya COVID-19 diisytiharkan menjadi penyakit yang endemik. Oleh yang demikian, penyakit yang dilaporkan sebagai endemik masih memerlukan program kawalan yang mantap bagi mengurangkan jangkitan, penderitaan, dan kematian.
Mengambil saranan WHO, pelbagai persediaan dan aktiviti kawalan di lapangan adalah diteruskan bagi melangkah ke fasa yang seterusnya. Kerajaan telah mempergiatkan usaha pemberian vaksin COVID-19, di mana sehingga 4 April 2022, sebanyak 79.1% daripada penduduk Malaysia telah lengkap menerima vaksin dos primer dan sebanyak 48.6% penduduk telah menerima dos penggalak.
Walaupun sebahagian besar penduduk Malaysia telah menerima vaksin COVID-19 dos primer, amalan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal yang munasabah masih perlu diteruskan oleh setiap individu dalam fasa peralihan ke endemik. Ini adalah bagi memberi perlindungan yang berterusan kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, individu yang mempunyai sistem imuniti tubuh yang rendah, dan individu yang mempunyai komorbid.
Menurut WHO, pemakaian pelitup muka adalah antara langkah pencegahan yang dapat mengurangkan penularan virus SARS-CoV-2 terutamanya di dalam kawasan jangkitan berisiko tinggi seperti tempat tertutup dengan pengudaraan yang tidak baik, tempat sesak, dan tempat individu melakukan interaksi jarak dekat.
Risiko penularan virus SARS-CoV-2 daripada pembawa virus yang tidak memakai pelitup muka adalah tinggi kepada individu sihat yang tidak memakai pelitup muka (Rajah 2). Risiko ini berkurang menjadi sederhana tinggi apabila pembawa COVID-19 tidak memakai pelitup muka walaupun individu sihat bertindak memakai pelitup muka. Risiko penularan adalah rendah sekiranya pembawa COVID-19 memakai pelitup muka apabila berhadapan dengan individu sihat tanpa pelitup muka.
Namun demikian, yang terbaik adalah kedua-dua individu iaitu pembawa COVID-19 dan juga individu sihat memakai pelitup muka, yang mana risiko penularan adalah sangat rendah. Ini berdasarkankemungkinan terdapat individu yang tidak tahu dijangkiti COVID-19 berada di kawasan umum kerana tidak bergejala. Oleh itu, pakailah pelitup muka sebagai perisai bagi orang di sekeliling kita terutamanya golongan yang berisiko tinggi.
Pemakaian pelitup muka yang betul adalah dengan pelitup muka menutup hidung dan mulut sepenuhnya. Pemakaian pelitup muka bukanlah sekadar di bawah hidung atau di hujung hidung. Elakkan kebiasaan membiarkan dagu terdedah, menurunkan pelitup muka ke bahagian dagu, atau memakai pelitup muka yang longgar.
Pengisytiharan Kawasan Jangkitan Tempatan masih lagi dikuatkuasakan di seluruh Malaysia di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] sehingga 30 Jun 2022. Selain daripada penguatkuasaan Akta 342 semasa dalam tempoh fasa peralihan ke endemik ini, langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan COVID-19 juga dilaksanakan di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan Ke Endemik) 2022 [P.U.(A) 83/2022] yang telah diwartakan pada 31 Mac 2022.
Protokol dan arahan pencegahan dan kawalan tersebut diperincikan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan mulai pada 1 April 2022. SOP yang telah dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini disokong oleh sembilan (9) garis panduan (Rajah 3) yang menjelaskan risiko jangkitan, penilaian risiko, serta tindakan pencegahan yang perlu diambil oleh individu, pengembara, majikan dan pihak bertanggungjawab ke atas premis yang diperjelaskan di bawah tajuk:
- Memakai pelitup muka di tempat awam;
- Menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan KKM;
- Menjaga penjarakan fizikal sekiranya boleh;
- Memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik;
- Menjaga kebersihan tangan;
- Memastikan kebersihan premis;
- Melakukan ujian pengesanan COVID-19 berdasarkan National Testing Strategy (NTS);
- Mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu;
- Memastikan waktu operasi mengikut ketetapan lesen atau permit yang dibenarkan dan;
- Menggunakan check-in MySejahtera atau MySejahtera Trace untuk membantu pengesanan kontak.
Bagi syarat yang dikuatkuasakan mengenai keperluan pelitup muka dalam fasa peralihan ke endemik adalah (Rajah 4):
- Pihak bertanggungjawab ke atas premis perlu memastikan pekerja dan individu sentiasa memakai pelitup muka semasa di premis atau menyertai aktiviti; dan
- Pekerja dan individu perlu memakai pelitup muka setiap masa terutamanya apabila ada kehadiran individu lain.
Pengecualian pemakaian pelitup muka hanya dibenarkan dalam keadaan berikut:
- Penghuni di kediaman sendiri, bilik hotel, bilik di tempat penginapan, di tempat kemudahan awam yang tidak melibatkan interaksi dengan individu lain;
- Ruang kerja bersendirian;
- Aktiviti sukan, rekreasi, dan riadah;
- Kenderaan persendirian tidak termasuk e-hailing;
- Sewaktu makan dan minum;
- Aktiviti persembahan (menyanyi, menari, berlakon, dan berceramah);
- Kanak-kanak berusia lima (5) tahun dan ke bawah;
- Individu berkeperluan khas (Orang Kurang Upaya tertentu seperti Cerebral Palsy atau Autism); dan
- Individu mempunyai masalah pernafasan (dengan syarat mengemukakan laporan perubatan yang telah disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar).
Oleh itu, KKM ingin menyeru orang ramai supaya tidak leka dan terus memakai pelitup muka kerana virus SARS-CoV-2 ini amat mudah merebak melalui titisan cecair atau titisan saluran pernafasan (respiratory droplets). Amalan saling tegur-menegur adalah tidak asing lagi bagi masyarakat di negara ini di mana ianya adalah amalan solidarity bagi kebaikan bersama. Sekiranya terdapat individu yang tidak memakai pelitup muka atau memakainya dengan tidak betul, kita boleh saling menegur secara berhemah. Amalan ini perlu dibudayakan demi menjaga kesihatan sesama kita selain terus mengamalkan penjarakan fizikal yang munasabah dan segera mendapatkan dos penggalak bagi yang belum menerimanya.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM