Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 1,035 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 84,721 kes. Kematian (9) kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tiga (3) kes di Tawau, dua (2) kes di Kota Kinabalu dan masing-masing satu (1) kes di Kota Belud, Kudat, Putatan dan Tuaran. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.
Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 485 menjadikan jumlah kumulatif 76,935 orang. Seramai 4,156 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 862 orang di hospital, 3,254 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 40 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 103 orang dan 29 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Tiada pertambahan zon merah dicatatkan
Jumlah kes positif COVID-19 Sabah pada hari ini ialah (1035) kes iaitu penurunan sebanyak (31) kes berbanding (1066) kes yang dicatatkan semalam (30 Julai 2021).
Kes-kes baharu hari ini terus berada di atas paras seribu, iaitu sebanyak (1035) kes.
Kota Kinabalu mencatat bilangan tertinggi iaitu (212) kes, diikuti oleh Tawau dengan (139) kes. Daerah-daerah lain yang merekodkan kes melebihi (30) kes ialah Sipitang (33) kes, Kinabatangan (33) kes, Beluran (35) kes, Papar (42) kes, Beaufort (45) kes, Keningau (49) kes, Sandakan (52) kes, Penampang (67) kes, Kota Marudu (70) kes, Telupid (71) kes dan Tuaran (72) kes.
Saringan Kontak Rapat terus menyumbang peratusan tertinggi iaitu 48.02% atau (497) kes daripada jumlah kes keseluruhan pada hari ini. Saringan Kluster menyumbang kepada 18.45% atau (191) kes. Saringan Bergejala menyumbang kes kedua tertinggi hari ini iaitu (251) kes atau 24.02% daripada kumulatif harian. Ini satu petanda jelas bahawa virus COVID-19 sudah pun berada dalam komuniti dan jangkitan berlaku secara sporadik (tidak tahu siapa yang menjangkiti atau bagaimana boleh terjangkit).
Sejumlah (115) kes hari ini merupakan OKT/Tahanan Kesalahan Imigresen,empat (4) kes banduan daripada Penjara Kota Kinabalu dan (111) kes daripada Depot Tahanan Imigresen Tawau (dimasukkan dalam kategori Saringan Bergejala).
Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi penguatkuasaan akan meningkatkan pemantauan bagi memasti pematuhan semua SOP sambil meningkatkan keupayaan memberi vaksinasi kepada semua penduduk pada kadar yang lebih cepat.
Sejumlah 76.52% daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu (380) kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak (412) kes sekadar mengalami simptom ringan (mild). Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC.
Seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak (497) kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.
Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.
☣️ i Kluster Gambaron Dua - Telupid adalah kluster komuniti yang dipercayai menjangkiti dalam kalangan jemaah masjid seterusnya merebak kepada ahli keluarga. Kes indeks merupakan lelaki, 29, yang bergejala sejak 22 Julai 2021 sebelum disahkan positif (RTK-Ag grading 100%) di Klinik Kesihatan pada 23 Julai 2021. Berdasarkan siasatan, kes indeks mendapat jangkitan daripada seorang rakannya iaitu lelaki, dari Tawau yang disyaki menjadi kontak kes positif di Ladang FGV Tanah Mas, Telupid. Sepanjang tiga (3) hari bermula 15 Julai 2021 di Kg Gambaron 2, kes indeks bersama rakannya itu menunaikan solat di Masjid Pekan Telupid. Setakat hari ini, 95 individu telah disaring dan 53 daripadanya dikesan positif COVID-19 termasuk 41 kes baharu. Aktiviti siasatan dan kawalan masih diteruskan.
☣️ ii. Kluster Jalan Corak - Tongod menokok satu kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 12 kes. Kes indeks bagi kluster kategori komuniti ini mula dikesan apabila suri rumah, 30, yang bergejala demam, batuk dan selesma disahkan postif COVID-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Tongod pada 26 Julai 2021. Siasatan awal mendapati, kes indeks bersama 14 rakannya mula mengalami gejala serupa sejak menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Telupid pada 24 Julai 2021 dan di antara mereka masih menuggu keputusan ujian RT-PCR. Saringan kontak juga mendapati sembilan (9) lagi kes positif COVID-19 di sekitar kediaman kes indeks. Setakat hari ini, aktiviti saringan, persampelan COVID- 19 dan disinfeksi masih diteruskan oleh pasukan siasatan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung yang berdekatan.