PERKHIDMATAN KESIHATAN MENTAL DAN SOKONGAN PSIKOSOSIAL (MHPSS) BAGI COVID-19
Bagi menangani isu kesihatan mental berkaitan pandemik COVID-19, Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) telah mewujudkan Talian Sokongan Psikososial. KKM bersama MERCY dan agensi-agensi lain seperti Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (KSK JAKIM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui Talian Sokongan Psikososial telah menerima sebanyak 36, 269 panggilan sejak 25 Mac sehingga 19 Oktober 2020. Antara isu-isu yang dialami oleh pemanggil adalah:
- Isu yang memerlukan sokongan emosi, dan kaunseling, (stres, bimbang, marah, murung) : 50%;
- Antara sebab-sebab adalah faktor-faktor sosial seperti hilang pekerjaan, tiada pendapatan, masalah hubungan, persepsi negatif orang sekeliling, bimbang dijangkiti, masalah tempat kerja)
- Maklumat berkaitan COVID-19 : 14.7%;
- Isu rumahtangga / Keganasan rumah tangga: 8.8%;
- Keperluan asas / bantuan kewangan / sumbangan : 6.8;
- Aduan: 3.3%;
- Masalah psikiatri 2.2%; dan
- Isu – isu kesihatan : 1.1%.
Menyedari situasi semasa COVID-19 di Sabah, KKM telah mengambil tindakan mempertingkatkan liputan MHPSS khas untuk warga di Sabah terutamanya bagi mereka yang memerlukan sokongan dalam keadaan krisis. Talian ini boleh diakses melalui nombor 088 338088 untuk membantu mereka yang memerlukan khidmat sokongan emosi dan bantuan awal psikologi.
Selain itu, KKM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada anggota barisan hadapan di lapangan bagi mengenalpasti mereka yang mulai mengalami kelesuan minda serta membantu mereka yang dari aspek kesihatan mental. KKM berharap wira dan wirawati negara ini cekal dan terus berjuang menghadapi gelombang ketiga wabak COVID-19 di Malaysia ini.