PENGGUNAAN KAPASITI KATIL COVID-19 DI HOSPITAL DAN PKRC (21/02/2022)
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada 21 Februari 2022, penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19:
- Katil Kes Kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU): Empat (4) negeri iaitu Johor (70%), Kelantan (61%), WP Kuala Lumpur (58%), dan Melaka (54%) menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50%;
- Katil Bukan ICU: 12 negeri iaitu Perlis (109%), Selangor (101%), Kelantan (100%), Perak (97%), Johor (82%), Putrajaya (79%), Sarawak (76%), Sabah (74%), WP Kuala Lumpur (73%), Pahang (58%), Pulau Pinang (53%), dan Terengganu (52%) menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50%;
- Katil Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC): Empat (4) negeri iaitu Selangor (68%), Perak (60%), Melaka (59%), dan Sabah (58%) menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50%; dan
- Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 164 pesakit dan peratusan penggunaan ventilator 37% daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19.
Jika dibandingkan dengan data kapasiti keseluruhan katil di fasiliti kesihatan awam di Jadual 2, sememangnya terdapat perbezaan dengan data di Jadual 1. Ini kerana data kapasiti dan penggunaan di Jadual 2 adalah termasuk juga untuk kes COVID-19 dan kes bukan COVID-19.
Secara keseluruhannya, setiap negeri telah bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke PKRC, Hospital dan ICU.
KKM ingin menjelaskan bahawa terdapat perbezaan di antara data harian kemasukan kes COVID-19 ke hospital berbanding kes COVID-19 kategori 1 sehingga 5 yang baharu didiagnosa pada setiap hari. Ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti COVID-19. Misalnya, semasa didiagnosa, mungkin pesakit tersebut berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui Home Surveilance Order (HSO) digital, namun status kesihatan pesakit boleh merosot ke kategori 3 atau lebih dan memerlukan kemasukan ke hospital. Pada masa yang sama, terdapat juga kes-kes COVID-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.
Pada 21 Februari 2022, kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital adalah 1,510 kes (Graf 1). Daripada 1,510 kes ini:
- 578 kes (38.3 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
- 932 kes (61.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM