Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 125 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 373,729 kes. Satu (1) kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di Kota Marudu. Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini. Ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat .
Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 53 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 366,415 orang. Manakala 187 pesakit sedang menerima rawatan di hospital. Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah empat (4) orang di ICU/repurposed critical.
Kedudukan Kes Positif COVID-19
a. Angka jangkitan harian melonjak tinggi melepasi paras 100 apabila merekodkan 125 kes baharu, pertambahan 29 kes berbanding jumlah semalam.
b. Jumlah daerah yang mencatat pertambahan kes baharu lebih banyak daripada kelmarin. Sebanyak 13 daerah mencatatkan peningkatan kes berbanding hanya lima (5) daerah yang merekodkan penurunan. Antara daerah-daerah yang mencatatkan jangkitan harian yang tinggi ialah Kota Kinabalu dengan 44 kes (+7), Penampang 24 kes (+4), Sandakan 12 kes (+6) dan Putatan 11 kes (+6).
c. Jangkitan sporadik masih merupakan punca utama penularan virus COVID-19. Seramai 64% pesakit hari ini adalah melalui jangkitan sporadik, yakni tidak tahu siapa dan dimana terjangkit. Jangkitan sporadik biasanya berlaku di kawasan yg ramai penduduk seperti pusat bandar, khususnya ditempat-tempat yang sesak. Peratusan pesakit melalui jangkitan sporadik di Kota Kinabalu ialah 77.3%, Putatan 72.7%, dan Penampang serta Sandakan masing-masing 66.7%. Orang ramai adalah diingatkan sekali lagi agar berhati hati semasa berada di tempat yang sesak dan mematuhi semua SOP.
d. Daerah Tawau, Semporna, Tongod, Nabawan, Kalabakan, Lahad Datu dan Kuala Penyu yang tidak mencatatkan sebarang kes pada hari sebelumnya merekodkan kes baharu hari ini manakala hanya Tenom yang kembali merekodkan sifar (0) kes setelah mencatatkan kes jangkitan semalam. Ekoran daripada itu, jumlah daerah yang tidak merekodkan sebarang kes berkurang daripada 15 daerah semalam kepada hanya sembilan (9) daerah hari ini.
e. Sebanyak 122 daripada 125 kes yang direkodkan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, manakala terdapat dua (2) kes dalam Kategori 4 dan satu (1) dalam Kategori 5.
Tiada kluster baharu direkodkan hari ini.
Jumlah kapasiti katil 953 unit.
• Hospital 915 unit.
• PKRC (Awam) 10 unit.
• Hospital Swasta 28 Unit
Jumlah peratusan penggunaan katil ialah 19.62%.