Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 712 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 78,652 kes. Lapan ( 8 ) kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tiga (3) kes di Sandakan manakala Kota Kinabalu, Penampang, Kudat, Tawau dan Beluran masing-masing mencatatkan satu (1) kes kematian. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.
Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 366 menjadikan jumlah kumulatif 73,060 orang. Seramai 3,541 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 593 orang di hospital, 2,256 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 692 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 68 orang dan 18 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Daerah Tongod berubah dari zon merah ke zon jingga, Beluran berubah dari zon jingga ke zon merah, manakala Tenom, Kunak dan Kuala Penyu berubah dari zon kuning ke zon jingga
Jumlah kes positif COVID-19 Sabah pada hari ini ialah (712) kes iaitu peningkatan (196) kes berbanding (516) kes semalam (23 Julai 2021). Peningkatan ini adalah disebabkan berlakunya kes-kes baharu positif COVID-19 di semua daerah di Sabah.
Penyumbang utama kes hari ini adalah daripada Saringan Kontak Rapat iaitu (383) kes atau 53.8% daripada kumulatif kes harian Negeri Sabah, diikuti tambahan kes dari Saringan Kluster Sedia Ada dengan (112) kes atau 15.7 % dan Saringan Bersasar sebanyak (88) kes atau 12.4%.
Dua (2) kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Jalan Mat Salleh, Kota Kinabalu (Rumah Persekutuan) merekodkan sembilan (9) kes dan Kluster Nosoob Baru, Penampang merekodkan satu (1) kes.
Peningkatan kes menggambarkan masih ramai yang tidak mematuhi SOP sepenuhnya. Kini kita berada dalam fasa pemulihan, ada kemungkinan masyarakat leka daripada mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (untuk sentiasa berada di rumah dan kurangkan pergerakan) kerana mempunyai persepsi bahawa kita dalam status pemuilhan.
Jumlah yang tinggi di kalangan kategori kontak rapat juga satu petunjuk bahawa lebih ramai telah menjadi pembawa virus dan kemungkinan telah menjangkiti sahabat-sahabat mereka. Ini akan mengakibatkan jumlah jangkitan berganda.
Masyarakat perlu mematuhi semua SOP dan mengurangkan perjalanan keluar daripada rumah kecuali perlu.
Sejumlah 79.3% daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu (206) kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak (359) kes sekadar mengalami simptom ringan (mild). Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC.
Bilangan kes positif COVID-19 ini diperolehi melalui saringan berikut:
🔸 (383) kes adalah daripada Saringan Kontak Rapat
🔸 (122) kes adalah daripada Saringan Kluster
🔸 (82) kes adalah daripada Saringan Bergejala
🔸 (88) kes adalah daripada Saringan Bersasar
🔸 (37) kes adalah daripada Saringan Lain-lain kes.
Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.
☣️ i Kluster Nosoob Baru - Penampang merupakan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti. Penularan disyaki berpunca daripada majlis pengebumian di Kg Nosoob Baru pada 10 Julai 2021 melibatkan keluarga dari Kg Nosoob Baru, Kg Pogunon dan Kg Terawi. Kes indeks adalah wanita, 28, yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan pra-rawatan pada 13 Julai 2021 dengan keputusan RTK-Ag grading 38%. Setakat hari ini, 17 kes positif termasuk satu (1) kes baharu.
☣️ ii Kluster Jalan Mat Salleh - Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Ranau dikategorikan sebagai kluster tempat kerja iaitu bangunan Rumah Persekutuan, Jalan Mat Salleh yang terletak di dalam Mukim Sembulan. Malah, premis kerajaan ini juga menempatkan pejabat pentadbiran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Angkatan Pertahanan Awam Sabah. Kes indeks merupakan pegawai farmasi, lelaki, 26, disahkan positif ujian PCR dengan CT value 19.32 di Klinik Kesihatan Luyang pada 15 Julai 2021, selepas bergejala sejak 14 Julai 2021. Setakat hari ini, 258 sampel telah diambil di daerah Kota Kinabalu dengan 18 kes positif dikesan termasuk sembilan (9) kes baharu. Manakala, 54 sampel didapati negatif dan 186 sampel menunggu keputusan ujian saringan. Sementara itu, 24 kes pula didaftarkan di luar ibu negeri meliputi tiga (3) kes di Putatan, tiga (3) kes di Ranau, sembilan (9) kes di Papar dan sembilan (9) kes lagi di Penampang sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 42 kes termasuk sembilan (9) kes baharu yang direkodkan pada hari ini.
⚠️ Seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka yang tidak statik dan dengan jumlah catatan sebanyak (383) kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.