PERSEDIAAN MEMASUKI FASA PERALIHAN KE ENDEMIK
Semasa fasa peralihan ke endemik, masyarakat perlu belajar untuk hidup bersama virus COVID-19 atau “Living with COVID-19” dalam keadaan yang paling kurang mengganggu kehidupan harian dengan mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam bagi melindungi diri, keluarga, dan masyarakat. Pengurusan pandemik COVID-19 perlu beralih daripada kebergantungan kepada intervensi Kerajaan seperti SOP dan undang-undang kepada keperihatinan Kerajaan, tanggungjawab individu, dan solidariti komuniti.
1. Keperihatinan Kerajaan
Dalam fasa peralihan ke endemik ini, Kerajaan akan terus memberi perlindungan dan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik untuk rakyat melalui:
- Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK);
- Penggunaan MySejahtera untuk FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate, Support);
- Sistem Amaran dan Tindakan (Heightened Alert System);
- CAC Maya (Virtual CAC) dan;
- Perawatan COVID-19.
2. Solidariti komuniti
Solidari komuniti dapat dicapai dengan:
- Mematuhi langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19;
- Saling mengingati untuk sentiasa mengamalkan norma baharu dalam kehidupan; dan
- Bersama-sama menjaga dan melindungi golongan berisiko tinggi dengan memastikan mereka mendapatkan vaksin COVID-19 termasuk dos penggalak, menghubungi kes positif yang berada di rumah untuk bertanyakan keadaan mereka, membantu menyediakan keperluan harian seperti makan dan minum kepada mereka, serta memastikan mereka mempunyai akses kepada CAC dan hospital berhampiran sekiranya tahap kesihatan merosot.
3. Tanggungjawab individu
Setiap individu mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk melindungi diri, keluarga, dan komuniti daripada COVID-19. Antaranya adalah:
- Elakkan berada di tempat awam sekiranya bergejala;
- Membuat penilaian risiko kendiri (lakukan TRIIS jika bergejala atau merupakan kontak rapat);
- Elakkan ke tempat sesak dan sempit. Sekiranya berada di tempat sesak dan sempit, sentiasa memakai pelitup muka dengan betul, mengekalkan penjarakan fizikal sekiranya boleh, dan aktifkan MySj Trace untuk pengesanan kontak;
- Mengamalkan gaya hidup sihat dan;
- Tahu bertindak sekiranya diri atau ahli keluarga positif COVID-19.
KKM ingin mengingatkan sekali lagi bahawa Negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik dan belum lagi memasuki fasa endemik. Oleh yang demikian, SOP yang ditetapkan semasa fasa peralihan ke endemik ini perlu diamalkan oleh setiap individu supaya dapat mencegah penularan jangkitan COVID-19 dan seterusnya beralih ke fasa berikutnya dengan lebih selamat.