STATUS JANGKITAN COVID-19 DALAM KALANGAN KANAK-KANAK (20/02/2022)
Bermula awal Januari 2022 sehingga pertengahan Februari 2022, bilangan kanak-kanak bawah 12 tahun yang dijangkiti COVID-19 adalah seramai 50,826 orang, dengan pecahan kes :
- Kategori 1: 15,817 kes (31.12%);
- Kategori 2: 34,857 kes (68.58%);
- Kategori 3: 120 kes (0.24%);
- Kategori 4: 28 kes (0.006%); dan
- Kategori 5: 4 kes (0.001%).
Graf 2 menunjukkan pola penggunaan katil harian pesakit COVID-19 di kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun, di mana ianya didapati semakin meningkat seiring dengan kenaikan kes COVID-19 di dalam negara. Peningkatan dilihat lebih ketara dalam bulan Februari 2022 terutama bagi kategori 2 hingga kategori 5.
Pola yang sama juga diperhatikan bagi penggunaan katil harian pesakit COVID-19 di kalangan kanak-kanak remaja (11-17 tahun) (Graf 3).
Ini mungkin disebabkan oleh penularan Varian Omicron serta peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi, lalu menyebabkan risiko pendedahan kanak-kanak kepada jangkitan COVID-19. Kanak-kanak telah terkesan secara langsung akibat pandemik COVID-19 yang telah mengganggu kehidupan keluarga serta aspek sosial mereka. Aspek persekolahan dan pendidikan juga terkesan dan pandemik yang berlarutan ini telah memberi kesan yang tidak sihat kepada perkembangan psikologi dan sosial kanak-kanak.
Meskipun gejala jangkitan COVID-19 di kalangan kanak-kanak kebiasaannya kurang serius berbanding dewasa, namun terdapat juga kes-kes yang memerlukan rawatan di hospital dan sebilangannya memerlukan rawatan intensif di ICU. Antara gejala yang sering dialami oleh kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 adalah batuk dan selesema berterusan melebihi seminggu, bernafas laju, kurang aktif, kurang selera makan, demam yang berterusan, dan muntah atau cirit birit. Dalam keadaan yang lebih serius, kanak-kanak boleh mengalami sakit dada atau sakit perut, kurang tahap kesedaran, dan juga sawan.
Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) merupakan salah satu keadaan kritikal yang boleh berlaku akibat jangkitan COVID-19 di mana terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru, dan otak. Sejak Jun 2020 hingga Disember 2021, 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan COVID-19 dengan pecahan umur,
- < 1 tahun : 25 kes (14.4%)
- 1 tahun hingga < 5 tahun : 38 kes (21.8%)
- 5 tahun hingga < 9 tahun : 64 kes (36.8%)
- 9 tahun hingga <12 tahun : 36 kes (20.7%)
- ≥ 12 tahun : 11 (6.3%)
Sehingga kini, tujuh (7) kes (4%) kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan COVID-19. Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-COVID (sindrom COVID-19 selepas fasa akut jangkitan). Data terhad yang diperolehi setakat ini menunjukkan risiko ini adalah lebih rendah berbanding orang dewasa, namun buat masa ini tidak banyak yang diketahui mengenai kesan jangka masa panjang Long-COVID kepada kanak-kanak.
Kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan COVID-19 yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma, dan obesiti.
Memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19, antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko ini adalah dengan kawalan kendiri dan juga vaksinasi. Vaksin COVID-19 Comirnaty® (Pfizer-BioNTech) telahpun diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak 5 sehingga 11 tahun di Malaysia. Dari kajian klinikal, keberkesanan vaksin ini adalah sebanyak 91% serta berupaya untuk meningkatkan tindakbalas imun yang tinggi terhadap penyakit COVID-19. Ini dapat mengurangkan risiko penyakit COVID-19 yang serius.
Pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak yang berusia 5 hingga 11 tahun ini adalah tepat pada masanya untuk melindungi kumpulan ini khususnya kanak-kanak yang mempunyai komorbid. Kanak-kanak golongan umur 5 hingga 11 tahun perlu diberi 2 dos vaksin dengan sela masa 8 minggu selepas dos pertama. Berdasarkan data terkini, sela masa 8 minggu di antara 2 dos yang diberikan akan memberi kesan tindakbalas imuniti dan kadar keberkesanan yang lebih tinggi serta berpotensi untuk memberi perlindungan yang lebih lama.
Pesanan kepada ibubapa yang membawa anak mereka untuk mendapatkan vaksin:
- Perlu memastikan anak-anak memiliki rehat mencukupi sebelum membawa mereka mendapatkan suntikan vaksin COVID-19;
- Kanak-kanak yang bakal divaksin juga perlu berada dalam keadaan sihat dan aktif serta makan dan minum yang cukup sebelum disuntik; dan
- Selepas menerima vaksin, pastikan kanak-kanak tidak melakukan aktiviti berat bagi tempoh seminggu. Ini penting bagi memastikan badan mereka dapat melalui proses pembinaan imuniti dengan baik dan mengelakkan sebarang komplikasi akibat melakukan aktiviti berat.
Selain itu, langkah-langkah pencegahan seperti berikut mesti dipatuhi:
- Kanak-kanak dinasihatkan untuk kekal berada di rumah kecuali untuk tujuan penting dan perlu sahaja;
- Amalkan norma baharu serta mematuhi Prosedur Operasi Standard(SOP) dalam mencegah jangkitan COVID-19;
- Ahli keluarga perlu diingatkan untuk tidak menjadi punca pembawa jangkitan kepada kanak-kanak dengan mematuhi SOP ketika berada di luar rumah; dan
- Jika terdapat ahli keluarga yang menjalani kuarantin di rumah, pastikan mereka patuh sepenuhnya kepada prosedur kuarantin.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM