PENULARAN SUB-LINEAGE VARIANT OF CONCERN (VOC) OMICRON BA.2 DAN KESAN KESIHATAN AWAM
KKM ingin memaklumkan bahawa, melalui kajian dan survelan genomik berterusan yang telah dijalankan oleh UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM), Integrative Pharmacogenomics Institute, Universiti Teknologi MARA (iPROMISE-UiTM), Tropical Infectious Diseases Research and Education Centre (TIDREC-UM), Malaysia Genome & Vaccine Institute (MGVI), Institute of Health and Community Medicine, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS), Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HP-UPM), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia – Kuantan, dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) KKM menunjukkan bahawa varian Omicron telah mula menggantikan varian Delta sebagai varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia.
Untuk makluman, Variant of Concern (VOC) Omicron terbahagi kepada tiga sub-lineage iaitu BA.1, BA.1.1, dan BA.2. Sehingga 20 Mac 2022, masih belum ada laporan mengenai kewujudan satu lagi sub-lineage iaitu BA.3 di Malaysia. Kebimbangan terhadap sub-lineage BA.2 adalah kerana ia berkemungkinan mengakibatkan transmisi yang lebih tinggi berbanding dengan sub-lineage Omicron yang lain serta varian Delta.
Di antara tiga sub-lineage varian Omicron yang menular, jumlah pelaporan sub-lineage BA.1.1 dan BA.2 dilihat semakin meningkat (Rajah 2). Omicronsub-lineage BA.1.1 telah meningkat daripada 38.3% pada Januari 2022 kepada 48.7% pada bulan Februari 2022, namun menurun kepada 40.0% pada bulan Mac 2022. Bagi tempoh yang sama (1 Mac 2022 hingga 17 Mac 2022), didapati varian Omicron BA.2 telah meningkat ke 27.1% berbanding pada bulan Januari 2022 dan Februari 2022 di mana pelaporan untuk varian Omicron sub-lineage BA.2 hanyalah masing-masing 0.9% dan 2.7%.
Kenaikan mendadak sub-lineage BA.2 ini adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian.
Situasi yang sama juga dilihat di beberapa negara seperti Denmark, India, dan Nepal yang telah melaporkan varian utama virus SAR-CoV2 yang menular di negara mereka adalah varian Omicron sub-lineage BA.2. KKM menjangkakan, besar kemungkinan varian Omicron sub-lineage BA.2 kelak akan menjadi varian yang dominan di Malaysia. Justeru, penduduk Malaysia perlu berwaspada dengan peningkatan penularan varian Omicron BA.2 dan pada masa yang sama, kita juga perlu khuatir kepada penularan berpanjangan varian Delta yang diketahui berupaya mengakibatkan jangkitan yang lebih serius terutama di kalangan mereka yang tidak divaksinasi atau tidak menerima vaksin dos penggalak (booster).
Neutralizing Antibodies (NAb) adalah antibodi yang bertanggungjawab untuk mempertahankan sel daripada organisma yang menyebabkan penyakit, iaitu terbentuk sama ada melalui vaksinasi atau tindakbalas tubuh terhadap jangkitan terdahulu. Dapatan kajian oleh Jingyou Yu et. al, 2022, telah menyarankan bahawa vaksin dos panggalak (booster) adalah disyorkan untuk meningkatkan tahap NAb yang lebih tinggi dan konsisten terhadap BA.1 atau BA.2. Ia berfungsi untuk melindungi mereka yang dijangkiti sub-lineage varian Omicron daripada kesan yang serius serta mengelakkan kemasukan ke hospital atau ke Unit Rawatan Rapi (ICU) (Rajah 3).
Sehingga kini, sebanyak 65.7% orang dewasa telah menerima dos penggalak dan hanya 35.3% kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun telah divaksin COVID-19. Pengambilan vaksin COVID-19 terutama dos penggalak kepada warga emas dan kanak-kanak ini amat penting bagi melindungi mereka daripada jangkitan teruk COVID-19 yang boleh membawa maut dan juga sebagai persediaan apabila negara memulakan ‘Fasa Peralihan ke Endemik’ pada 1 April 2022.
Ibu bapa dan ahli keluarga perlu memainkan peranan yang penting serta bertindak secara proaktif dengan meyakinkan golongan rentan ini untuk menerima vaksinasi dan dos penggalak COVID-19 dengan menunjukkan fakta-fakta yang sahih dan tepat berkaitan kepentingan vaksin dan dos penggalak demi keselamatan dan kesihatan mereka.
“Lindung Diri, Lindung Keluarga, Lindung Komuniti”
Rujuk : KPKESIHATAN.COM