Malaysia seperti negara-negara lain di dunia telah menghadapi pandemik COVID- 19 sejak tahun 2020. Setelah lebih empat (4) tahun mengharungi COVID-19 dengan pelbagai kaedah untuk menanganinya, negara berada dalam situasi yang lebih baik dan bersedia untuk peralihan fasa hidup bersama COVID-19.
Situasi COVID-19 di Malaysia terus terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada. Kebanyakan kes yang dilaporkan mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.
Dalam fasa “Hidup Bersama COVID-19”, tujuan pengurusan COVID-19 adalah untuk melindungi golongan rentan yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit yang lebih teruk.
Bermula 15 Julai 2024, TIADA lagi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah atau ‘Home Surveillance Order’ (HSO) akan diberikan. Individu yang disahkan positif COVID-19 akan dirawat sepertimana jangkitan saluran pernafasan yang lain.
Walau bagaimanapun, kes positif masih berpotensi untuk menyebarkan jangkitan dan digalakkan untuk kekal berada di rumah, jika boleh. Sekiranya perlu keluar rumah untuk bekerja dan sebagainya, pakai pelitup muka, elakkan interaksi rapat dengan orang lain, dan elakkan tempat yang sesak untuk tempoh seminggu dari tarikh mula bergejala.
Sekiranya gejala bertambah teruk, dapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan.
Ujian pengesahan bagi COVID-19 hanya melalui RTK- Antigen profesional (yang diselia atau dilakukan oleh petugas kesihatan) dan PCR. RTK-Antigen kendiri TIDAK lagi terpakai untuk pengesahan COVID-19. Ujian akan dilakukan bagi tujuan rawatan dan bukan untuk tujuan saringan.
Anda masih boleh melakukan ujian RTK-Antigen kendiri, tetapi jangkitan COVID-19 hanya akan disahkan melalui keputusan positif daripada RTK-Antigen profesional atau PCR.
Tidak perlu. Bermula 15 Julai 2024, keputusan ujian COVID-19 tidak perlu lagi dimuat naik ke aplikasi MySejahtera. Keputusan ujian positif COVID-19 akan dilaporkan oleh pengamal perubatan melalui sistem eNotifikasi.
Individu yang disahkan positif COVID-19 akan dirawat sepertimana jangkitan saluran pernafasan yang lain. Sekiranya tidak dapat hadir bekerja kerana tidak sihat, dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan. Sijil cuti sakit diberikan mengikut keadaan kesihatan selepas dinilai oleh Pengamal Perubatan. Bukan semua kes COVID-19 akan mendapat sijil cuti sakit.
Bincang dengan pihak majikan bagi susun atur kerja yang paling sesuai apabila mengetahui anda positif. Pihak majikan boleh memanggil anda untuk balik bekerja sekiranya keadaan kesihatan anda membenarkan. Sekiranya perlu hadir bekerja, pakai pelitup muka dan elakkan interaksi rapat dengan orang lain.
Sijil cuti sakit diberikan mengikut keadaan kesihatan selepas dinilai oleh Pengamal Perubatan. Bilangan hari cuti sakit adalah bergantung kepada penilaian dan budi bicara Pengamal Perubatan yang merawat. Tiada bilangan hari yang ditetapkan untuk cuti sakit bagi kes COVID-19. Bukan semua kes COVID-19 akan mendapat sijil cuti sakit.
Majikan di sektor swasta disarankan untuk membuat pertimbangan sama ada pekerja yang disahkan positif COVID-19 perlu hadir ke tempat kerja atau boleh Bekerja Dari Rumah, berdasarkan polisi syarikat masing-masing.
Sekiranya pekerja perlu hadir bekerja, rancang susun atur kerja yang sesuai (tidak berisiko kepada pekerja lain atau pelanggan, contohnya bekerja dalam bilik secara persendirian atau dengan jarak dari pekerja lain).
Senarai jenis penyakit berjangkit yang boleh menggunakan kemudahan Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin atau Memerlukan Pengasingan adalah sepertimana tersenarai dalam Lampiran SR.5.4.4(A) iaitu enam (6) jenis penyakit berjangkit dengan penambahan lain-lain penyakit berjangkit yang diperakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan atau swasta. COVID-19 adalah termasuk dalam “Lain- lain penyakit berjangkit”. Namun, apa-apa jua penyakit berjangkit yang menggunakan kemudahan cuti ini harus diperakukan oleh Pegawai Perubatan. Kemudahan ini juga tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan dan atas kelulusan Ketua Jabatan.
Petugas kesihatan yang positif COVID-19 akan dirawat sepertimana jangkitan saluran pernafasan yang lain. Sekiranya tidak dapat hadir bekerja kerana tidak sihat, dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan. Sijil cuti sakit diberikan mengikut keadaan kesihatan selepas dinilai oleh Pengamal Perubatan. Bukan semua kes COVID-19 akan mendapat sijil cuti sakit.
Sekiranya tidak mendapat sijil cuti sakit, penilaian perlu dibuat untuk risiko penularan jangkitan di tempat kerja. Ketua Jabatan/Penyelia perlu mempertimbangkan sama ada petugas kesihatan tersebut mengendalikan golongan berisiko tinggi. Sebolehnya rancang susun atur kerja yang tidak membabitkan pesakit untuk tempoh sementara.
Petugas Kesihatan yang positif COVID-19 dan sesuai untuk balik bekerja digalakkan memakai pelitup muka mengikut amalan kawalan dan pencegahan jangkitan semasa bertugas.
Pelajar yang positif COVID-19 akan dirawat sepertimana jangkitan saluran pernafasan yang lain. Sekiranya tidak dapat hadir ke sekolah kerana tidak sihat, dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan. Sijil cuti sakit diberikan mengikut keadaan kesihatan selepas dinilai oleh Pengamal Perubatan. Bukan semua kes COVID-19 akan mendapat sijil cuti sakit.
Sekiranya boleh hadir ke sekolah, pakai pelitup muka dan elakkan interaksi rapat dengan orang lain untuk tempoh seminggu dari tarikh mula bergejala.
Sekiranya terdapat pelajar yang disahkan positif COVID-19 duduk di asrama, digalakkan untuk pelajar tersebut diasingkan di bilik tidur yang lain sehingga gejalanya bertambah baik atau memanggil ibu bapa untuk membawa balik pelajar tersebut.
Pihak pengurusan asrama juga perlu melaporkan kejadian wabak COVID-19 atau penyakit jangkitan saluran pernafasan yang lain (apabila terdapat dua kes dan ke atas) kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran.
Semasa sesi peperiksaan, pelajar yang disahkan positif COVID-19 boleh mengambil peperiksaan di dewan peperiksaan yang sama dengan pelajar lain dengan syarat pelajar positif memakai pelitup muka dan tempat duduknya dijarakkan daripada pelajar-pelajar lain.
Anda tidak perlu risau sekiranya terdapat pelajar yang positif COVID-19 dalam kelas yang sama dengan anak anda, asalkan pelajar tersebut memakai pelitup muka dan tempat duduknya dijarakkan daripada pelajar-pelajar lain.
Kontak rapat kepada kes yang disahkan positif COVID-19 digalakkan memantau gejala dan tahap kesihatan. Sekiranya gejala berterusan atau bertambah teruk, dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berhampiran.
i. Individu yang positif COVID-19 dan perlu meminimumkan interaksi sosial serta mengelakkan tempat sesak
ii. Petugas kesihatan ketika berada di fasiliti kesihatan, terutama semasa menguruskan pesakit selaras dengan amalan kawalan dan pencegahan jangkitan.
iii. Individu yang bergejala seperti batuk dan selesema, terutama ketika berada di fasiliti kesihatan atau tempat yang sesak dengan pengudaraan yang kurang baik, untuk mengelakkan jangkitan kepada orang lain.
Ya, keputusan ujian positif COVID-19 wajib dinotifikasi oleh pengamal perubatan, sama seperti penyakit-penyakit berjangkit lain dalam Jadual 1, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]. Notifikasi perlu dibuat melalui sistem eNotifikasi.
Golongan berisiko tinggi yang dijangkiti COVID-19 dinasihatkan untuk mendapat rawatan awal di fasiliti kesihatan berhampiran. Golongan berisiko tinggi adalah:
i) Warga emas berumur 60 tahun ke atas
ii) Individu yang tinggal di pusat penjagaan
iii) Individu dengan komorbid atau imuniti rendah
Ini adalah kerana mereka lebih berisiko untuk mendapat komplikasi penyakit COVID-19 yang lebih teruk.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan penilaian risiko kendiri dan mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan kesihatan awam. Golongan berisiko tinggi digalakkan untuk memakai pelitup muka apabila berada di tempat yang sesak atau mempunyai pengudaraan yang kurang baik.
Langkah-langkah pencegahan COVID-19 juga boleh mencegah jangkitan pernafasan yang lain, seperti influenza dan Mycoplasma pneumoniae. Langkah-langkah ini adalah:
i) Memakai pelitup muka di tempat yang sesak
ii) Mengamalkan etika batuk yang baik
iii) Cuci tangan dengan kerap
iv) Menjaga kebersihan diri dan persekitaran
v) Memastikan pengudaraan yang baik
vi) Mendapatkan imunisasi bagi penyakit yang mempunyai vaksin seperti COVID-19 dan Influenza.
Kumpulan individu yang belum pernah menerima vaksin COVID-19 seperti di bawah:
• Individu berumur 18 tahun dan ke atas
• Individu berumur 12 hingga 17 tahun dengan komorbiditi
• Individu berumur 12 tahun dan ke atas dalam kategori immunocompromised
• Anggota kesihatan terutamanya yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit
• Ibu hamil
Kumpulan individu yang pernah menerima sekurang-kurangnya satu (1) dos vaksin COVID-19 seperti di bawah:
• Individu berumur 60 tahun dan ke atas
• Individu berumur 18 tahun dan ke atas dengan komorbiditi
• Individu berumur 12 tahun dan ke atas dengan kategori immunocompromised
• Anggota kesihatan yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit
• Ibu hamil
Secara umumnya tahap imuniti seseorang akan menurun seiring dengan masa terutamanya bagi golongan berisiko tinggi. Hal yang demikian menyebabkan golongan berisiko ini terdedah kepada jangkitan COVID-19 dan komplikasi yang lebih teruk. Justeru, dos tambahan COVID-19 dapat memberi perlindungan imuniti pada tahap optimum.
COVID-19 akan terus bersama kita seperti virus saluran pernafasan yang lain. Peningkatan kes dari semasa ke semasa adalah dijangkakan dan tidak membimbangkan asalkan tidak menyebabkan penyakit yang lebih teruk atau membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.
Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau situasi COVID-19 dalam negara dan menggunakan Heightened Alert System (HAS) untuk memberi amaran awal sekiranya terdapat perubahan kepada situasi COVID-19 dalam negara. Tiga
(3) indikator yang dipantau dalam HAS ialah kes baharu COVID-19, kes kematian COVID-19, dan kemasukan kes COVID-19 ke hospital.
Virus SARS-CoV-2 adalah virus RNA yang sering mengalami mutasi, namun sejak awal tahun 2022 sehingga kini, tiada varian baharu selain Omicron yang dikesan di Malaysia. Namun, beberapa subvarian Omicron seperti XBB, BA.5, BA.2.86, KP.2, dan JN.1 telah dikenal pasti. Setakat ini, kesemua subvarian ini tidak menunjukkan bukti menyebabkan komplikasi penyakit yang lebih teruk.
Kementerian Kesihatan Malaysia akan meneruskan survelan genomik bagi COVID- 19 untuk pengesanan awal sebarang varian baharu.
Dalam fasa “Hidup Bersama COVID-19”, tujuan pengurusan COVID-19 bukan untuk mengurangkan kes, tetapi adalah untuk melindungi golongan rentan yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit yang lebih teruk. Peningkatan kes dari semasa ke semasa adalah dijangkakan dan tidak membimbangkan asalkan tidak menyebabkan penyakit yang lebih teruk atau membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.
Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai Pelan Kesiapsiagaan untuk menghadapi lonjakan kes dengan kadar kemasukan ke ICU atau kadar kematian yang tinggi. Fasiliti kesihatan dan petugas kesihatan sentiasa bersedia untuk lonjakan kapasiti sekiranya diperlukan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat situasi COVID-19 daripada sumber yang sahih seperti di laman web https://covid-19.moh.gov.my, Kenyataan Media KKM serta Media Sosial rasmi KKM.
Disediakan oleh: Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia