COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

SARINGAN KESIHATAN DI PINTU MASUK DOMESTIK DAN ANTARABANGSA BAGI PENGUNJUNG DARI SABAH

/ sorotan, highlights, Saringan Kesihatan

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat sebanyak 394 kes positif COVID-19 yang melibatkan pengunjung dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah sejak 22 September 2020. Dari jumlah itu, sebanyak 228 kes (57.9 peratus) adalah dalam kalangan pengunjung yang tiba sebelum 27 September 2020, manakala sebanyak 166 kes (42.1 peratus) lagi adalah dalam kalangan pengunjung yang tiba selepas 27 September 2020. Secara keseluruhan sehingga 13 Oktober 2020, seramai 18,478 individu dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah telah disaring di semua pintu masuk antarabangsa dan domestik.

Untuk makluman juga, sehingga kini terdapat sebanyak 23 kluster di seluruh Malaysia yang disebabkan oleh kes indeks yang juga merupakan pengunjung dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah. Walau pun KKM telah melaksanakan saringan COVID-19 kepada semua pengunjung dari Sabah sejak 27 September 2020 dan mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO)sehingga keputusan ujian negatif dimaklumkan, kes dan kluster berkaitan kelompok ini masih terus dilaporkan.

Bagi membantu menangani isu ini dan dengan mengambil kira situasi kenaikan jumlah kes COVID-19 di Sabah, semua pengembara yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan kesihatan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa dan Domestik, diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh ketibaan, dipakaikan gelang (wristband) dan perlu memantau kesihatan kendiri menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. Langkah ini telah bermula 11 Oktober 2020 sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. Situasi semasa berkaitan isu ini adalah dipantau rapi oleh KKM dan sebarang perubahan dalam pendekatan yang diambil akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara.

Next Post Previous Post