COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

PEMATUHAN PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) FASA 4 PELAN PEMULIHAN NEGARA (PPN) 2021 BAGI TAHUN 2022

KKM ingin merujuk kepada pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 [P.U.(A)293/2021] dari Minggu Epidemiologi (ME) 1/ 2022 hingga ME 11/2022.

Dari ME 1/2022 hingga ME 11/2022, sebanyak 2,338 tawaran kompaun individu dan 506 kompaun bagi pertubuhan telah dikeluarkan oleh KKM. Jadual 5 menunjukkan jumlah tawaran kompaun bagi individu dan pertubuhan perbadanan mengikut negeri melalui aktiviti penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]. Kompaun tertinggi adalah di negeri Sabah dengan 623 kompaun, diikuti dengan negeri Selangor sebanyak 505 kompaun, dan negeri Johor sebanyak 340 kompaun. Terdapat peningkatan tawaran kompaun di negeri Selangor dan Perak pada ME 11/2022 berbanding ME sebelumnya.

image-99

Tawaran kompaun yang dikeluarkan bagi empat (4) jenis kesalahan utama sehingga minggu ini adalah (Jadual 6):

  • Gagal menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis (1,740);
  • Gagal memakai pelitup muka (236);
  • Gagal mengamalkan penjarakan fizikal (55);
  • Gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri (12); dan
  • Lain-lain kesalahan di bawah Akta 342 serta peraturan-peraturan di bawahnya yang telah ditawarkan oleh KKM (801).

Perincian setiap ME pada tahun 2022 bagi jumlah penawaran kompaun oleh KKM mengikut jenis kesalahan adalah seperti Rajah 2.

image-100

image-101

Aktiviti penguatkuasaan bagi pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara ini turut melibatkan lain-lain agensi. Sebanyak 9,294 tawaran kompaun individu dan 293 tawaran kompaun pertubuhan telah dikeluarkan oleh lain-lain agensi sehingga ME 11/2022. Antara kesalahan utama yang dikeluarkan kompaun oleh agensi-agensi lain adalah (Jadual 7):

  • Gagal menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis (2,650);
  • Gagal mengamalkan penjarakan fizikal (1,058);
  • Gagal memakai pelitup muka (575);
  • Gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri (25); dan
  • Lain-lain kesalahan di bawah Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya (5,279).

image-102

Selain itu, KKM turut mengambil tindakan dengan menutup premis di bawah Seksyen 18 Akta 342 bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19. Sejumlah 954 premis telah ditutup di mana 913 daripadanya adalah premis perniagaan, diikuti dengan kilang sebanyak 40 premis, dan satu (1) premis tapak pembinaan (Jadual 8).

image-103

Melalui data-data yang ditunjukkan KKM di atas, jelas bahawa tahap kepatuhan masyarakat, pemilik premis, dan juga pertubuhan perbadanan masih boleh dipertingkatkan lagi. Ini adalah penting bagi mengurangkan risiko penularan serta membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Syabas dan terima kasih diucapkan kepada mereka yang patuh kepada SOP yang ditetapkan. Dengan mematuhi SOP, anda berjaya mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan berjaya melindungi diri anda, keluarga, serta masyarakat sekeliling anda daripada bahaya COVID-19. KKM juga menyeru agar seluruh masyarakat terus patuh kepada arahan yang ditetapkan oleh kerajaan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi COVID-19 di Malaysia.

KKM juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua anggota penguatkuasa daripada KKM dan juga penguatkuasa daripada pelbagai agensi di atas kesungguhan mereka menjalankan penguatkuasaan, meskipun mereka juga sibuk dalam urusan penguatkuasaan bagi pelbagai perkara lain dalam bidang tugas mereka. Kesungguhan mereka dalam menjalankan tugasan mungkin tidak diketahui umum, namun mereka terus menjalankan tugasan mereka demi menjaga keselamatan masyarakat umumnya.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post