Saringan Kesihatan DI HOSPITAL ANGKATAN TENTERA KEM TERENDAK
Pada 27 Ogos 2020, pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CRPC) Kebangsaan, KKM telah dimaklumkan mengenai kes positif COVID-19 dalam kalangan anggota di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka. Berdasarkan siasatan yang dijalankan, dua (2) kes dikesan melalui saringan pra pembedahan dan satu (1) kes adalah daripada saringan bergejala di hospital tersebut.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pihak Angkatan Tentera Kem Terendak bersama pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka telah membuat penilaian risiko ke atas anggota. Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat kes-kes positif dikenal pasti. Bagi kontak rapat yang telah dikenal pasti, saringan gejala dan pengambilan ujian pengesanan COVID-19 dijalankan. Surat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah diberikan kepada kontak rapat. Bagi individu yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan teruk, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi dan rawatan lanjut.
Sehingga 29 Ogos 2020, seramai 109 orang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif tersebut. Mereka telah disaring dan masih menunggu keputusan ujian COVID-19. Saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan masih diteruskan. Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.