TINDAKAN OLEH MAJIKAN BAGI MEMBANTU MENANGANI PENULARAN COVID-19
Untuk makluman daripada 162 kluster aktif COVID-19 yang dilaporkan, sebanyak 72 kluster adalah berkaitan dengan tempat kerja termasuk empat (4) kluster baharu yang diumumkan pada hari ini. Peningkatan kes mendadak di negeri-negeri Lembah Klang akhir-akhir ini adalah disebabkan oleh peningkatan kes berkaitan dengan tempat kerja. Ini berikutan ketiga-tiga negeri ini adalah pusat tumpuan warga pekerja. Kepadatan penduduk di negeri-negeri ini juga menjadi salah satu faktor risiko meningkatnya kadar kebolehjangkitan atau penularan penyakit COVID-19.
Tenaga kerja adalah merupakan aset berharga bagi sesebuah syarikat mahupun organisasi. Ini termasuklah pekerja dari kalangan warganegara mahu pun bukan warganegara.
Seperti yang KKM sering tekankan, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit di kalangan pekerja misalnya isu tempat penginapan, kebersihan kendiri dan juga persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja. Memandangkan isu penularan COVID-19 di kalangan pekerja bukan warganegara adalah merupakan isu penting yang perlu ditangani, KKM menyeru pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar dalam sama-sama menanganinya.
Antara tindakan yang boleh diambil adalah:
- Memberi pendidikan kepada para pekerja tentang amalan kebersihan kendiri, persekitaran di tempat kerja dan tempat tinggal, serta langkah pencegahan;
- Menyediakan penginapan yang kondusif untuk memastikan penjarakan fizikal yang selamat dapat diamalkan;
- Memantau dan memastikan amalan pencegahan jangkitan dipraktikkan oleh pekerja di tempat kerja dan tempat penginapan mereka.