COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

A.I Based COVID-19 FAQ

PAKEJ BANTUAN PERLINDUNGAN EKONOMI DAN RAKYAT MALAYSIA (PERMAI)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik pengumuman oleh YAB Perdana Menteri mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) sebagai inisiatif dalam memerangi wabak COVID-19 di Malaysia. Sejajar dengan usaha proaktif ini, beberapa perkara telah dilaksanakan bagi mengukuhkan sistem kesihatan negara dalam usaha melicinkan lagi pengurusan COVID-19 di negara kita.

PENGURUSAN COVID-19 DI MALAYSIA

Sejajar dengan perkembangan maklumat terkini yang diperolehi mengenai COVID-19 sama ada di Malaysia atau di peringkat global, KKM sentiasa mengemaskini pengurusan kes COVID-19 di Malaysia. Bagi kes yang telah disahkan positif COVID-19, pengurusan kes boleh dilaksanakan di tempat kediaman berdasarkan penilaian awal yang dijalankan oleh petugas kesihatan COVID-19 Assessment Centre (CAC).

Kriteria kes positif COVID-19 yang dipertimbangkan untuk pengasingan diri di tempat kediaman adalah seperti berikut:

  1. Tidak mengalami sebarang gejala atau mengalami gejala ringan;
  2. Bukan daripada golongan berisiko tinggi, contohnya warga emas dan pesakit kronik;
  3. Mempunyai penjaga yang sesuai; dan
  4. Kesesuaian tempat kediaman bagi tujuan pengasingan diri.

KKM menasihati agar mana-mana individu yang telah dimaklumkan positif COVID-19 untuk sentiasa berada di rumah dan boleh dihubungi setiap masa. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil oleh kes positif COVID-19 yang berada di rumah;

  1. Duduk di bilik yang berasingan daripada penghuni yang lain. Sebaik-baiknya bilik tersebut mempunyai kemudahan bilik air. Jika terpaksa berkongsi bilik air, bersihkan permukaan yang disentuh seperti tombol pintu, pili air, dan peralatan lain setiap kali selepas digunakan;
  2. Elakkan interaksi secara bersemuka dengan penghuni yang lain. Sekiranya tidak dapat dielakkan, pastikan kedua-dua pihak memakai pelitup muka;
  3. Laporkan status kesihatan terkini kepada petugas kesihatan atau melalui aplikasi MySejahtera setiap hari;
  4. Jika gejala bertambah teruk, hubungi COVID-19 Assessment Centre (CAC) atau Klinik Kesihatan yang terdekat atau hubungi talian 999 bagi kes kecemasan;
  5. Kerap cuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer;
  6. Amalkan etika batuk yang betul iaitu menutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk atau bersin;
  7. Buang tisu dan pelitup muka yang telah digunakan ke dalam bungkusan yang diikat sebelum dibuang ke dalam tong sampah serta segera mencuci tangan;
  8. Cuci peralatan yang digunakan untuk makan dan minum sebelum digunakan semula;
  9. Pastikan pengudaraan rumah yang baik dengan membuka tingkap; dan
  10. Tidak menerima pelawat.

Untuk makluman, kontak rapat kepada kes positif perlu menjalani kuarantin atau pengasingan sama seperti yang diamalkan sebelum ini. Keutamaan untuk menjalani ujian swab COVID-19 diberikan kepada mereka yang bergejala. Ini berikutan kemungkinan ujian swab COVID-19 tidak dapat dijalankan untuk semua kontak rapat khususnya di sesetengah daerah atau negeri yang mempunyai bebanan kes yang amat tinggi. Penekanan perlu diberikan kepada usaha mengasingkan semua individu yang terdedah kepada kes positif daripada menjangkiti individu lain. Kuarantin ini tertakluk kepada tempoh 10 hari dengan mengambilkira tahap kebolehjangkitan adalah sangat rendah selepas tempoh tersebut.

KERJASAMA KKM DAN HOSPITAL SWASTA

Kerajaan komited untuk mengukuhkan kerjasama di antara sektor kesihatan awam dan swasta dalam menangani pandemik COVID-19. Antara kerjasama yang telah dijalankan sepanjang pandemik ini adalah melalui inisiatif menggunakan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta dan kerjasama ini akan terus dipergiatkan lagi.

Baru-baru ini, KKM telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan pemegang taruh hospital swasta termasuk Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan beberapa syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menentukan halatuju pengurusan pandemik COVID-19 negara.

Sukacita dimaklumkan bahawa hasil perbincangan tersebut, Kerajaan telah memperoleh komitmen daripada beberapa buah hospital swasta untuk menerima rujukan dan merawat pesakit COVID-19, bergantung kepada kapasiti dan kepakaran yang sedia ada. Sehingga kini, pihak APHM telah mengenal pasti sebanyak 1,138 buah katil termasuk 70 buah katil kritikal di 97 buah hospital swasta di seluruh negara.

KKM melalui CPRC Perkhidmatan Hospital dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) sedang memperhalusi mekanisma cadangan kerjasama ini dengan lebih lanjut bersama pihak APHM, Kementerian Kewangan Malaysia serta Bank Negara Malaysia dan segala perkembangan akan diumumkan dalam masa yang terdekat.

KKM berharap kerjasama dan usaha yang dijalankan oleh semua pihak ini akan dapat memutuskan rantaian jangkitan dan penularan COVID-19 di negara kita.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post