Kesiapsiagaan Menangani COVID-19 di Malaysia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia
KESIAPSAGAAN DAN PENINGKATAN KAPASITI HOSPITAL DI MALAYSIA
KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 6 Oktober 2020, jumlah katil yang disediakan bagi merawat pesakit COVID-19 adalah sebanyak 6,759 katil, di mana 2,820 katil di Hospital KKM dan 3,975 katil di Pusat Kuarantin dan Berisiko Rendah. Kadar penggunaan katil bagi kedua-dua fasiliti ini adalah sebanyak 36 peratus dan 29 peratus di seluruh negara. Bagi jumlah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, sebanyak 437 buah katil telah dikhususkan bagi pesakit COVID-19 dengan kadar penggunaan sebanyak 6 peratus. Sebanyak 1,505 buah alat mesin pernafasan (ventilator) juga telah disediakan di hospital KKM dengan kadar penggunaan sebanyak 37 peratus bagi seluruh negara. Ini termasuk penggunaan bagi pesakit bukan COVID-19.
Khusus bagi Negeri Sabah pula, terdapat enam (6) hospital berpakar yang merawat pesakit COVID-19 iaitu:
- Hospital Queen Elizabeth (HQE);
- Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS);
- Hospital Tawau;
- Hospital Lahad Datu;
- Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan;
- Hospital Keningau.
Bagi menampung peningkatan kes COVID-19, wad-wad tambahan telah dibuka bagi hospital-hospital ini iaitu;
- Bagi HQE, Kota Kinabalu – Bangunan Kompleks Sukan Likas;
- Bagi Hospital Tawau – Bangunan Kompleks Sukan Tawau;
- Dewan Arena Tawau, Kompleks Penjara Tawau dan Bangunan Institut Latihan KKM (ILKKM);
- Bagi Hospital Lahad Datu – Dewan Tun Hj Mustapha; dan
- Bagi HDOK Sandakan – Dewan Rafflesia (ILKKM), PPR Batu Putih.
PPR Bubul Ria juga telah dibuka bagi menempatkan kes-kes COVID-19 di daerah Semporna dan Asrama Sekolah Menengah Agama untuk kes-kes daerah Kunak. Kapasiti katil bagi enam (6) hospital KKM dan sepuluh (10) Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) adalah masing-masing 710 buah katil dan 1,886 buah katil. Sehingga 6 Oktober 2020, kadar penggunaan katil adalah sebanyak 75 peratus di hospital KKM dan 35 peratus di PKRC. Bagi Perkhidmatan Rawatan Rapi pula, Sabah mempunyai 72 katil yang dikhususkan bagi merawat pesakit COVID-19 yang kritikal dan kadar penggunaan adalah sebanyak 38 peratus.
KKM telah dan sedang mengatur pasukan bantuan yang terdiri daripada Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih untuk membantu petugas kesihatan JKN Sabah mengendalikan wad-wad tambahan ini. Begitu juga, KKM telah menghantar aset perubatan tambahan untuk kegunaan hospital-hospital di Negeri Sabah.
KESIAPSAGAAN DAN PENINGKATAN KAPASITI MAKMAL DI MALAYSIA
Sebagai langkah kesiapsagaan dan peningkatan kapasiti makmal di Malaysia, terdapat 60 makmal di Malaysia yang boleh menjalankan Ujian real-time reverse-transcription polymerase chain reaction (rRT-PCR), iaitu, 18 hospital-hospital di KKM, 1 Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan 4 Makmal Kesihatan Awam, 1 Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), 2 buah makmal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebuah makmal Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi(MOSTI) serta 13 Universiti, dan 20 makmal-makmal swasta.
Secara keseluruhan, jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel COVID-19 di seluruh Malaysia adalah sebanyak 41,354 ujian sehari sekarang. Ujian RT-PCR telah mula dilakukan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kapasiti 300 ujian/sehari dan seterusnya diperluaskan ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (500/sehari) dan Makmal Kesihatan Awam Johor Baru (200/sehari) pada bulan Januari.
Manakala untuk negeri Sabah, jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel COVID-19 di seluruh Sabah adalah sebanyak 2,500 ujian sehari.
Untuk pelan jangka masa terdekat, KKM sedang mengusahakan satu makmal modular di Tawau sementera menunggu pembangunan satu makmal molekular yang tetap di Hospital Tawau. GENEXPERT merupakan Point of Care Testing (POCT) untuk menjalankan ujian COVID-19 telah diperolehi oleh Kementerian dan ditempatkan di beberapa hospital di Sabah. Kaset GENEXPERT COVID-19 telah diperolehi oleh Kementerian dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan akan diagihkan kepada Hospital Queen Elizabeth, Hospital Sandakan, Hospital Tawau dan Hospital Labuan dalam masa terdekat.
Setakat 5 Oktober 2020, KKM masih mempunyai RTK-Antigen sebanyak 203,704 ujian, dengan jumlah semasa penggunaan sebanyak 3,000 ujian sehari. Pada hari ini, sebanyak 15,000 RTK-Ag telah selamat dihantar ke Negeri Sabah untuk membantu dalam meningkatkan kapasiti saringan kes di negeri tersebut. Usaha ini adalah kerjasama di antara KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Mercy Flight.