COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

PEMBUKAAN PUSAT KUARANTIN DAN RAWATAN COVID-19 BERISIKO RENDAH (PKRC) KEDUA DI WP LABUAN

Wilayah Persekutuan (WP) Labuan telah mencatatkan peningkatan kes COVID-19 mulai 27 September 2020 yang lalu. Sejak daripada permulaan wabak COVID-19 sehingga 26 September 2020, WP Labuan hanya mencatatkan 26 kes secara kumulatif. Walau bagaimanapun, mulai 27 September sehingga 29 Oktober 2020, WP Labuan telah mencatatkan tambahan sejumlah 366 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan berjumlah 392 kes.

Susulan itu, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 17 Oktober 2020, dan kini dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 13 November 2020.

Pola peningkatan kes COVID-19 di WP Labuan dijangkakan akan meningkat disebabkan oleh saringan bersasar secara besar-besaran yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Labuan terutama di kawasan-kawasan berpotensi wabak dengan purata saringan adalah 1,500 ke 2,500 sehari. Jumlah sampel ujian RT-PCR yang telah diambil sejak 27 September 2020 adalah berjumlah 23,807. Kadar pengesanan kes untuk keseluruhan di WP Labuan adalah sekitar 1.5 peratus, manakala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, kadar pengesanan adalah sekitar 10 sehingga 15 peratus.

Untuk menampung kapasiti rawatan kes positif COVID-19 yang semakin meningkat di WP Labuan, JKWP Labuan telah meningkatkan kapasiti sedia ada melalui beberapa fasa pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) iaitu:

  • Fasa 1 (Januari – Mac 2020): Menjadikan rumah pelawat dan wellness centre sebagai PKRC dengan kapasiti 16 katil;
  • Fasa 2 (Mac – September 2020): Memaksimakan ruang di Hospital Labuan dengan tambahan 105 katil, menjadikan kapasiti katil COVID-19 meningkat kepada 121 katil; dan
  • Fasa 3 (September – Oktober 2020): Melibatkan rundingan penggunaan fasiliti luar iaitu Bahagian Teknologi Pendidikan sebagai PKRC yang berkapasiti 56 katil menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC sebanyak 177 katil.

Disebabkan bilangan pesakit yang semakin bertambah, JKWP Labuan telah menyediakan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan dengan kapasiti 140 katil, menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC di WP Labuan sebanyak 317 katil. Pusat ini akan beroperasi sepenuhnya pada 29 Oktober 2020.

Bagi rawatan COVID-19 di Hospital Labuan pula, daripada 122 katil di Hospital Labuan, sebanyak 20 katil telah dikhususkan untuk pesakit kategori 4 dan 5, iaitu sebagai katil High Dependency Unit (HDU) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Wad Kelas Pertama dan Wad Kanak-kanak. Baki sebanyak 102 lagi katil Hospital Labuan iaitu termasuk 5 katil ICU sedia ada akan terus digunakan untuk rawatan kes bukan COVID-19.

Ini sekaligus menjadikan kapasiti terkini katil untuk pesakit COVID-19 di WP Labuan meningkat kepada 337 katil, di mana jumlah katil di PKRC adalah 317 katil manakala katil untuk rawatan pesakit COVID-19 di Hospital Labuan adalah 20 katil.

Pembukaan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan, dan agensi lain di WP Labuan termasuk Taiwan Buddist Tzu-Chi Foundation Malaysia, Institut Latihan Perindustrian dan beberapa penyumbang lain yang menjadikan pusat rawatan ini dapat dibuka dalam tempoh 24 jam. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak atas pendekatan The Whole of Government and Whole of Society Approach.

Tenaga kerja bagi pusat rawatan baharu ini akan mengunakan sepenuhnya tenaga kerja di JKWP Labuan dan pasukan bantuan yang telah dihantar untuk bantuan di JKWP Labuan. Pasukan ini akan terus di pertingkatkan dari masa ke semasa untuk memastikan program Kawalan COVID-19 di WP Labuan berjalan lancar seperti yang telah dirancang.

Next Post Previous Post