Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 1,166 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 86,889 kes. Tiga (3) kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di Kota Kinabalu. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.
Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 580 menjadikan jumlah kumulatif 78,093 orang. Seramai 4,404 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 899 orang di hospital, 3,454 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 47 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 113 orang dan 31 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Daerah Tambunan berubah dari zon kuning ke zon jingga
Jumlah kes positif COVID-19 Sabah pada hari ini ialah (1,166) kes iaitu peningkatan sebanyak (164) kes berbanding (1,002) kes yang dicatatkan semalam (01 Ogos 2021).
Jumlahkeshariiniadalahyangtertinggisetakatiniiaitu(1,166)kes.KotaKinabalu sahaja mencatat (234) kes baharu, Penampang (123) kes, Tawau (106) kes, Beaufort (84) kes, Tuaran (83) kes, Papar (73) kes, Kunak (68) kes, Sandakan (61) kes, Keningau (59) kes, Tenom (41) kes, Ranau (40) kes dan Telupid (38) kes. Tidak ada daerah yang mencatatkan sifar (0) kes.
Terdapat satu (1) kluster baharu dilaporkan di Tenom iaitu Kluster Sibulu yang melibatkan tempat tinggal pekerja di sebuah tapak binaan syarikat hidro dengan catatan (35) kes pada hari ini
Saringan Kontak Rapat terus menyumbang kes positif yang terbanyak iaitu (674) kes atau 57.8%, Saringan Bergejala (171) kes atau 14.67% dan sebanyak (147) kes atau 12.61% daripada kluster-kluster yang sedia ada. Jumlah kontak rapat yang begitu tinggi adalah satu petunjuk bahawa begitu ramai orang sudah terdedah kepada jangkitan COVID-19.
Dalam situasi di mana virus sudah tersebar luas dalam masyarakat dan dalam kawasan yang luas, lockdown bukan lagi kaedah yang berkesan untuk membendung penularan. Apa yang perlu dibuat ialah mempercepatkan vaksinasi di kalangan penduduk. Sabah telah menerima bekalan vaksin yang banyak pada minggu ketiga bulan Julai. Sejak 21 hingga 31 Julai 2021, JKNS telah berjaya memberi 374,214 dos vaksin. Menjadi harapan untuk meneruskan vaksinasi pada kadar purata 50 ribu dos sehari dalam bulan Ogos.
Sejumlah 70.29% daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu (322) kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak (495) kes sekadar mengalami simptom ringan (mild). Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC.
Seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID- 19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak (674) kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.
Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.
☣️ Kluster Sibulu - Tenom merupakan penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja iaitu tapak binaan hidro dalam Mukim Kuala Tomani. Kes indeks adalah jurumampat lelaki, 46, bukan warganegara, dan tinggal di Kem 3, Sibulu. Kes indeks mula bergejala sejak 24 Julai 2021 sebelum disahkan positif di Klinik TMC Tenom pada 27 Julai 2021 dan telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut. Daripada 114 sampel yang telah diambil, 55 sampel dikesan positif COVID-19 termasuk 35 kes baharu pada hari ini. Manakala, 54 sampel didapati negatif sementara lima (5) lagi sampel masih menunggu keputusan ujian saringan.