COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Sistem kesihatan negara diyakini saintis antarabangsa

Sembilan hospital dan 3,000 sukarelawan tempatan memahat sejarah penting buat negara dan sektor kesihatan dunia apabila terbabit dalam Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19.
Kajian ini sangat bersejarah dan bermakna kepada negara, terutama dalam bidang kesihatan. Ia satu lagi peristiwa penting kerana Malaysia satu-satunya negara menjalankan ujian klinikal ini luar Republik China.
Perkembangan ini juga penting kepada saintis dan pegawai perubatan terbabit. Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS) juga sangat berpuas hati dengan tahap dan kesediaan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM), terutama di lapangan untuk menyertai dan melaksanakan kajian fasa 3 itu.
Ini membuktikan fasiliti hospital KKM dan petugasnya antara terbaik di dunia. Jika fasiliti kerajaan yang kita ada tidak bagus, saintis dan pakar farmaseutikal luar tidak akan sudi membenarkan kajian penting itu dilakukan di Malaysia.
Inilah bukti keyakinan dunia luar kepada sistem kesihatan yang sistematik, bersepadu dan berkualiti.
Setakat ini warga KKM terbukti mempunyai kualiti mendalam dalam khidmat penjagaan kesihatan. Hampir 70 peratus rakyat tidak pernah merasa was-was untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan.
Bukan sekadar murah dan hampir percuma, kualiti perkhidmatan dan ubat-ubatan tidak boleh disangkalkan lagi.
Hospital swasta pula hanya menjadi tempat 'rebutan' mereka yang kaya dan golongan yang mahu rawatan segera sahaja. Namun, selepas rawatan major di swasta, mereka tetap ke hospital dan klinik kerajaan untuk rawatan susulan.
Semuanya kerana kualiti perkhidmatan, dasar kerajaan yang menjamin harga perkhidmatan murah dan hampir percuma di premis kesihatan milik kerajaan, walaupun kadang kala terpaksa berbaris dan menunggu lama.
Ketika COVID-19 mula menjadi pandemik dunia, keupayaan sektor kesihatan negara memang lambat mengawal wabak.
Bukan kerana kita tidak pernah diuji wabak sebelum ini, tetapi keputusan kerajaan ketika itu ialah tunggu dan lihat, serta tidak mahu menutup kedatangan pelancong luar negara.
Ketika itu, dunia sudah mula menyaksikan visual mengejutkan dengan paparan pesakit COVID-19 rebah di lapangan terbang dan tempat awam. Malah, perhimpunan jemaah besar di Desa Petaling juga tidak dihalang.
Keadaan berubah apabila Malaysia mengambil beberapa langkah tegas dan berani demi melindungi kesihatan dan keselamatan semua penduduk negara kita.
Datuk Seri Dr Adham Baba, sejurus dilantik Menteri Kesihatan pantas bertindak dan hasil taklimat status diterima, mencadangkan pintu sempadan dari negara luar ditutup bermula dengan China, Itali, Iran dan Korea Selatan.
Penilaian status COVID-19 seterusnya menunjukkan keperluan kecemasan dan beliau menasihatkan Perdana Menteri melaksanakan penutupan sepenuhnya pintu sempadan negara.
Selepas hampir setahun Tan Sri Muhyiddin menerajui kerajaan, kita sama-sama menyaksikan sistem kesihatan negara berjalan lancar.
Walaupun ada beberapa kekangan, kemudahan hospital, klinik, penambahan keupayaan makmal, mobilisasi sumber manusia, kelengkapan dan perubatan, ia masih dapat mendepani krisis besar iaitu wabak maut COVID-19 yang sama-sama kita hadapi ini.
Fitnah, berita palsu atau infodemik mengarut nampaknya tidak melunturkan semangat dan perjuangan petugas barisan hadapan.
Dengan kepemimpinan berpandangan luas dan pasukan pakar yang berpengalaman di KKM, kita boleh menjangkakan lebih banyak pembaharuan dan kemajuan dalam sistem kesihatan negara akan diperkenal, walaupun ketika pandemik masih berlaku.
Kuncinya hanya satu iaitu memberi peluang masa kepada kepemimpinan sedia ada untuk meneruskan usaha mereka dalam menambah baik apa yang perlu demi kesejahteraan rakyat bersama.

Dr Muhammad Kelantani
Bandar Baru Bangi
Sumber : Berita Harian

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post