COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

COVID-19 - Kami 3 Kes Pun Dah Risau, Bagaimana Mereka Hadapi 3,000 Kes?

/ KES COVID-19 DI PERLIS

Semalam kita terdengar Perth, Australia biarpun ada 1 kes terus lockdown di sana. Tahun lepas, hanya 2 kes sahaja di Suva, Fiji terus lockdown di sana untuk jaga 300,000 rakyatnya yang lain.
Negeri Perlis, biarpun kesnya hanya satu, dua atau tiga kes, tetapi mereka masih lagi dalam PKP untuk menjaga hampir 300,000 rakyatnya yang lain di negeri itu.
Dalam jangka masa 15 hari, dari 19 Januari hingga 2 Februari, negeri Perlis mencatatkan 63 kes positif baharu COVID-19. Jika berdasarkan keseluruhan kes iaitu 177 kes, 63 kes ini adalah 35.59%. Banyak bagi sebuah negeri yang pernah menjadi negeri zon hijau yang pertama di Malaysia.
Pada 23 April 2020, Perlis diisytiharkan sebagai kawasan pertama zon hijau selepas tiada jangkitan baharu dikesan melebihi dua minggu. Sifar kes selamat 14 hari berturut-turut.
Pada 1 Februari dan 31 Januari, Perlis turut mencatat kosong (0) kes tatkala negeri-negeri lain di Malaysia, terutamanya Selangor mencatatkan kes harian yang amat tinggi.
Perlis mampu sekali lagi mengulangi kejayaan sebagai negeri hijau jika rantaian COVID-19 dapat diputuskan. Biarpun PKP disambung lagi hingga 18 Februari ini, rakyat Perlis tetap kena mengharungi PKP seperti Selangor yang mencatat kes empat angka setiap hari.
Dalam satu sesi perbualan ringkas bersama COMMS MOH, YB Ruzaini Rais, Exco Kerajaan Negeri Perlis menyifatkan pengalaman sebagai sebuah negeri yang pernah mendapat status zon hijau amat membantu dan memberi pengajaran kepada negeri itu.
Betapa berharganya bila mendapat status zon hijau dan bila melihat orang tidak patut SOP di perhimpunan dan kenduri-kendara, itu kadang-kala merisaukan saya kerana takut wujud pula nanti kluster kenduri, ujarnya. Sekarang Perlis berusaha hendak dapatkan semula status zon hijau itu kembali.
“Kalau boleh pakailah pelitup muka (mask), kerana ilmu sains telah mengajar kita bahawa dengan memakai perlindungan ini dapat mengelakkan diri kita daripada virus COVID-19”
“Simpanlah satu hand sanitizer kecil untuk diri sendiri di mana-mana tempat yang kita pergi serta rajin-rajinlah basuh tangan” demikianlah nasihat YB Ruzaini, kepada semua rakyat negeri Perlis.
Beliau turut mengucapkan berbanyak terima kasih kepada petugas kesihatan negeri Perlis yang sentiasa bersungguh-sungguh dan tanpa kenal erti penah lelah dalam menghadapi wabak COVID-19 ini di negeri Perlis.
Jika dilihat pada pendekatan yang diambil di negeri Perlis, penglibatan pihak berkuasa, NGO, sukarelawan dan masyarakat adalah amat aktif sekali dalam menghalang penularan wabak COVID-19 ini.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, YB Menteri Kesihatan dan seluruh warga Kementerian Kesihatan yang kini sedang bertungkus-lumus melawan virus COVID-19 ini seluruh negara”
“Kami baru dapat 3 kes COVID-19 pun sudah rasa risau, bagaimanalah perasaan dan cara semua barisan hadapan KKM yang berhadapan dengan 3,000 kes sehari mengendalikan perkara ini? Saya tabik pada jasa dan pengorbanan semua barisan hadapan KKM selama ini” ujar YB Ruzaini lagi.
Pihak petugas kesihatan negeri Perlis mencetak banting memberi amaran kepada rakyatnya tentang COVID-19, risalah disebarkan mengenai bahaya virus COVID-19 serta penerangan menerusi kenderaan kepada kawasan-kawasan tertentu menerusi info on wheel mengenai bahaya COVID-19.
Selamat maju jaya Perlis. Biarpun negeri kecil kalau tidak dijaga dengan baik boleh jadi merah juga satu negeri. Hilang terus nikmat hijau bila status bertukar menjadi merah. Teruskan usaha memutuskan rantaian COVID-19 di negeri Perlis, insyallah Perlis Mesti Menang.
Untuk catatan kes harian di negeri Perlis :
2 Februari 2021, Perlis catat 1 kes
1 Februari 2021, Perlis catat 0 kes
31 Januari 2021, Perlis catat 5 kes
30 Januari 2021, Perlis catat 0 kes
29 Januari 2021, Perlis catat 3 kes
28 Januari 2021, Perlis catat 9 kes
27 Januari 2021, Perlis catat 3 kes
26 Januari 2021, Perlis catat 2 kes
25 Januari 2021, Perlis catat 3 kes
24 Januari 2021, Perlis catat 3 kes
23 Januari 2021, Perlis catat 7 kes
22 Januari 2021, Perlis catat 13 kes
21 Januari 2021, Perlis catat 8 kes
20 Januari 2021, Perlis catat 3 kes
19 Januari 2021, Perlis catat 3 kes

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post