COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Kementerian Kesihatan Sudah Bersedia Mulakan Pelan Imunisasi Fasa Pertama

/ VAKSIN COVID-19

PUTRAJAYA, 3 Feb -- Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bersedia untuk melaksanakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama, sebaik bekalan vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia pada 26 Feb ini, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, sesi latihan awal penghantaran vaksin tersebut ke Klinik Kesihatan Belaga di Sarawak pada 29 Jan dan Hospital Bintulu pada 30 Jan sebagai persiapan rapi, telah berjalan lancar
“Fasiliti yang dipilih untuk peringkat fasa pertama ini, melibatkan semua fasiliti yang telah pun kita kaji, kita telah dapat maklum, kita telah memberi dan membuat keputusan bahawa keperluan electricity, keperluan ultra low freezer temperature (ULTF) bersesuaian dengan suhu untuk vaksin tersebut sampai. Sebelum dikeluarkan ke tempat vaksinasi yang hanya ada 120 jam untuk digunakan” ujar Dr Adham.
Menurutnya, latihan awal penghantaran itu adalah untuk memastikan bekalan vaksin dari kilang syarikat gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer, di Puurs, Belgium yang menggunakan bekas ultra sejuk sampai di Malaysia tanpa sebarang masalah.
“Ini adalah latihan yang amat penting kami dan ia telah berjaya dilaksanakan dan data pengelog menunjukkan tiada isu atau kelemahan,” katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan aplikasi pendidikan dalam talian mengenai COVID-19, di sini hari ini.
Dr Adham berkata fasiliti penyimpanan vaksin COVID-19 bagi fasa pertama yang dilengkapi kemudahan seperti Penyejuk Suhu Ultra Rendah (ULTF), bagi memastikan suhu yang bersesuaian untuk penyimpanan vaksin, sebelum dikeluarkan dan diagihkan kepada tempat vaksinasi, telah dikenal pasti.

Next Post Previous Post