COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Pengendalian Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 Dalam NORMA BAHARU

Peperiksaan awam untuk calon-calon peperiksaan bagi tahun 2020 di Malaysia telah dan masih sedang berlangsung dari bulan Februari 2021 hingga bulan April 2021. Ini dimulakan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 22 Februari hingga 25 Mac 2021. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua calon peperiksaan awam bagi tahun 2020.

KKM juga ingin menasihati semua pihak yang terlibat dengan peperiksaan awam termasuk calon, petugas peperiksaan, pihak pentadbir, ibu bapa, dan penjaga supaya sentiasa mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam dalam norma baharu yang telah ditetapkan.

Calon peperiksaan perlu memastikan bahawa mereka sihat dan tidak bergejala seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak, dan sesak nafas semasa hadir ke mana-mana pusat peperiksaan. Untuk itu, calon dikehendaki mengisi borang deklarasi saringan COVID-19 bagi mengisytiharkan status kesihatan mereka setiap hari.

Sepanjang minggu peperiksaan, ibu bapa perlu sentiasa memantau tahap kesihatan anak-anak mereka dan memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya anak-anak mereka menunjukkan sebarang gejala.

Semasa di pusat peperiksaan, langkah-langkah pencegahan COVID-19 perlu sentiasa diamalkan seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci atau mensanitasi tangan, tidak berkongsi peralatan atau alat tulis dengan calon lain, serta mematuhi penjarakan fizikal. Perkara ini perlulah sentiasa diamalkan sebelum, semasa mahupun selepas menjalani peperiksaan. Calon juga disarankan untuk menghadkan pergerakan mereka dan mengurangkan kontak sepanjang musim peperiksaan bagi mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19 serta dapat menjawab semua soalan peperiksaan dengan jayanya.

KKM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pihak pentadbir sekolah akan sentiasa mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan calon boleh menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan sihat.

Next Post Previous Post