COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

SITUASI SEMASA BENCANA BANJIR DAN JANGKITAN COVID-19 DI PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA (PPS)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan sehingga kini, kejadian banjir telah melanda lapan (8) buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Melaka.

Berikutan daripada banjir yang melanda, sebanyak 72 fasiliti kesihatan telah terjejas di mana 43 di negeri Pahang, 20 di Selangor, lapan (8) di Kelantan dan satu (1) di Negeri Sembilan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan (8) buah fasiliti kesihatan terputus hubungan namun masih beroperasi dan 21 buah fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi iaitu 20 di Selangor dan satu (1) di Negeri Sembilan.

2

1.0 PERKHIDMATAN PENJAGAAN PRIMER DI PUSAT PEMINDAHAN

Pasukan perubatan ditempatkan di PPS bagi memantau kesihatan mangsa-mangsa banjir. Sehingga tengah hari tadi, sebanyak 78 mangsa banjir telah diperiksa dan diberi rawatan pesakit luar di PPS. Daripada jumlah tersebut, 13 kes dalam kategori penyakit berjangkit (lima (5) kes acute respiratory infection (ARI), lapan (8) kes skin infection) dan 65 adalah penyakit tak berjangkit. Tiada kes acute gastroenteritis (AGE), tifoid, kolera, hand foot mouth disease (HFMD), leptospirosis, denggi atau penyakit berjangkit lain dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir setakat ini.

2.0 PESAKIT BERISIKO YANG TERJEJAS BANJIR

Terdapat satu (1) kes ibu mengandung (antenatal). Tiada kes posnatal atau pesakit yang menjalani rawatan dialisis dilaporkan dari negeri yang dilanda banjir.

3.0 PERKHIDMATAN KESIHATAN DI PUSAT PEMINDAHAN

3.1 AKTIVITI KESELAMATAN BEKALAN AIR MINUM

Bagi memastikan sumber air adalah selamat untuk digunakan oleh mangsa banjir, sebanyak 70 aktiviti pengambilan sampel air dijalankan dan tiada pelanggaran terhadap parameter pH, klorin dan kekeruhan (NTU).

3.2 AKTIVITI KAWALAN VEKTOR

Aktiviti kawalan vektor yang dijalankan adalah bagi memastikan tiada penyakit bawaan vektor berlaku di PPS. Sebanyak 48 buah PPS telah diperiksa dan tiada tempat pembiakan Aedes dikesan. Sebanyak 427 bekas telah diperiksa dan tiada PPS disembur kabus.

3.3 AKTIVITI KESELAMATAN MAKANAN

Sebanyak 45 buah PPS dilawati dan didapati 34 buah PPS memuaskan dari segi premis penyediaan makanan.

3.4 AKTIVITI PENDIDIKAN KESIHATAN

Jumlah harian aktiviti pendidikan kesihatan di kawasan dilanda banjir yang dijalankan pada hari ini ialah enam (6) ceramah, 631 nasihat individu, 355 tunjuk cara, 21 perbincangan kumpulan, 14 banting, 96 poster, enam (6) banner dan 842 risalah

4.0 PEMATUHAN SOP PENGURUSAN COVID-19 DI PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA

Pengurusan mangsa banjir adalah mematuhi Garis Panduan Pencegahan dan Pengurusan COVID-19 di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Bencana dan Garis Panduan Pengurusan Bencana Semasa COVID-19.

KKM juga menjangkakan bahawa kemungkinan berlakunya peningkatan kes COVID-19 berikutan SOP yang tidak dapat dilakukan sepenuhnya sewaktu proses menyelamat dilakukan. Walau bagaimanapun, KKM sekali lagi ingin menasihatkan orang ramai supaya:

a) memaklumkan status risiko COVID-19 kepada agensi tindak balas sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan;
b) sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS;
c) sentiasa memakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan maklumkan kepada petugas atau pasukan perubatan di PPS sekiranya mengalami gejala COVID-19; dan
d) elakkan dari berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir dan amalkan mencuci tangan menggunakan hand sanitizer atau sabun terutamanya apabila pergi ke tempat menjadi gunasama seperti tandas.

KKM telah menyediakan pasukan perubatan di PPS terutama di PPS yang besar, membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa-mangsa banjir di PPS. Ujian saringan COVID-19 dilakukan juga ke atas mangsa banjir sebelum memasuki PPS bagi mengesan awal jangkitan COVID-19 serta memastikan tiada penularan berlaku di PPS.

Memandangkan terdapat juga mangsa banjir yang telah mendapatkan perlindungan di masjid-masjid, stesen LRT, pusat membeli belah dan sebagainya, KKM ingin menasihatkan urusetia atau sukarelawan di pusat perlindungan tersebut agar dapat menjalankan ujian kendiri air liur RTK Ag kepada setiap individu yang berlindung dan mengasingkan kes yang dikesan positif COVID-19 secepat mungkin. Seterusnya, sila maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah anda dengan menghubungi talian hotline yang disediakan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline supaya langkah pengesanan kontak rapat dapat dijalankan segera.

Keselamatan setiap individu yang terlibat dalam bencana banjir ini adalah yang paling utama. Justeru, KKM faham sekiranya pematuhan SOP kesihatan awam tidak dapat dipatuhi sepenuhnya sewaktu menyelamatkan nyawa, tetapi KKM berharap agar semua individu yang terlibat sama ada mangsa banjir, anggota sukarelawan atau anggota penyelamat dapat cuba mematuhi SOP sebaik mungkin untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 di PPS. Sehubungan itu, KKM akan terus memantau jangkitan COVID-19 di PPS dan melakukan penilaian risiko dari semasa ke semasa. Untuk maklumat lanjut mengenai pencegahan dan pengurusan COVID-19 di PPS, anda boleh merujuk Annex 41 di https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/garis-panduan-kkm atau https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/garis-panduan-kkm/ANNEX_41_GARIS_PANDUAN_PUSAT_PEMINDAHAN_SEMENTARA_MANGSA_BENCANA_BAGI_MENCEGAH_COVID-19_28112021.pdf .

Akhir kata, KKM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang saling berganding bahu tanpa mengira bangsa dan agama dalam menangani bencana yang melanda negara kini. Semoga Malaysia mampu bangkit dengan lebih teguh selepas cabaran ini.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post