COVID-19 DAN PENYAKIT BERJANGKIT BERKAITAN BANJIR
Selain daripada kemungkinan berlakunya peningkatan kes COVID-19, KKM juga menjangkakan bahawa akan terdapat peningkatan kejadian penyakit berjangkit berkaitan banjir.
Justeru itu, KKM ingin menasihatkan orang ramai yang terlibat di kawasan banjir untuk mengambil langkah-langkah seperti berikut:
- Sebaik-baiknya, gunakan alat pelindung diri seperti but getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya jika melibatkan banjir lumpur. Ini untuk mengelakkan sentuhan terus dengan air banjir bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian penyakit berjangkit berkaitan banjir seperti penyakit leptospirosis (jangkitan air kencing tikus), melioidosis, dan lain-lain penyakit bawaan air dan makanan.
- Orang ramai dinasihatkan agar mengambil air minum dan makanan yang bersih dan tidak tercemar bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun (kolera), hepatitis A dan demam kepialu (tifoid).
- Mangsa banjir, petugas dan sukarelawan di kawasan banjir juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri semasa banjir iaitu dengan membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan, selepas menyentuh barang-barang yang dicemari oleh air banjir atau kumbahan (sewage).
- Hendaklah sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran. Pembuangan sampah di merata tempat akan mendatangkan risiko penyakit, pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk dan lain-lain. Semasa banjir, hujan akan menyebabkan bekas-bekas menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles. Ini menyebabkan populasi nyamuk bertambah dan boleh merebakkan penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi, chikungunya dan malaria tidak kira semasa banjir atau selepas banjir.
- Sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir atau fasiliti kesihatan yang berhampiran jika mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, batuk dan sebagainya.
KKM telah menyediakan pasukan perubatan di PPS Banjir terutama di PPS yang besar, membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa-mangsa banjir di PPS. Ujian saringan COVID-19 dilakukan juga ke atas mangsa banjir sebelum memasuki PPS bagi mengesan awal jangkitan COVID-19 serta memastikan tiada penularan berlaku di PPS.





Rujuk : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM