COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Tunggakan Kes Bukan COVID-19 di Fasiliti KKM

Seperti yang diumumkan YB Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan semasa Sidang Media Khas Menteri Kesihatan petang tadi, terdapat tunggakan atau backlog bagi perawatan kes bukan COVID-19 di fasiliti KKM. Situasi ini dilihat berlaku juga di banyak negara serata dunia, iaitu kesan daripada penularan COVID-19 di mana banyak tumpuan telah diberikan kepada perawatan kes-kes COVID-19, sekaligus mengakibatkan perawatan kes-kes bukan COVID-19 terjejas.

i. Data sehingga 1 September 2021 menunjukkan sejumlah 57,355 kes tunggakan bagi kes-kes pembedahan (surgical based) dan prosedur perubatan (medical based).

  • 93.8% atau 53,785 adalah kes-kes tunggakan surgical based yang meliputi pembedahan am, urologi, pembedahan paediatrik, pembedahan plastik dan rekonstruktif, pembedahan kardiotorasik, ginekologi, orthopedik dan ophthalmologi. Daripada jumlah tersebut, 97.4% atau 52,373 merupakan kes tunggakan pembedahan bukan kanser, dan 2.6% atau 1,412 melibatkan kes kanser.
  • 6.2% atau 3,570 (daripada keseluruhan 57,355 kes tunggakan) adalah tunggakan untuk prosedur perubatan (medical based). Prosedur tersebut meliputi Arteriovenous Fistula Creation, angioplasty, angiogram, pacemaker insertion, sleep study, lung function test, bronchoscopy & pleuroscopy, stem cell transplant, nuclear medicine scans, serta radioterapi dan CT simulation. Daripada jumlah tersebut, 83% atau 2,964 merupakan kes tunggakan bukan kanser, 15% atau 534 melibatkan kes kanser, dan 2% atau 72 kes untk prosedur transplant.

ii. Bagi menangani isu tunggakan, KKM telah memulakan penyumberluaran perkhidmatan perubatan (pesakit bukan COVID-19) kepada pihak hospital swasta semenjak tahun 2020.

iii. Sehingga 31 Ogos 2021, sebanyak 38 hospital kerajaan dan 68 hospital swasta terlibat di dalam perkhidmatan penyumberluaran di seluruh negara, dimana 6,623 pembedahan dan prosedur telah berjaya dilaksanakan. Selain daripada itu, sebanyak RM26.2 juta (66.0%) dari jumlah peruntukan telah sempurna dibelanjakan oleh pihak Kerajaan. Manakala penyumberluaran Perkhidmatan Kardiologi dan Kardiotorasik khususnya ke Institut Jantung Negara masih tetap dilaksanakan dengan implikasi kewangan sebanyak RM26.4 juta.

iv. Walaupun penyumberluaran telah dimulakan semenjak tahun 2020, jumlah kes tunggakan masih tinggi memandangkan terdapat limitasi seperti kekurangan kepakaran di fasiliti swasta serta kekurangan hospital swasta di beberapa negeri.

v. Buat masa ini, kebanyakan hospital-hospital KKM dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 dan Pakar Anaestesiologi dan kakitangan sokongan seperti jururawat diperlukan untuk perawatan COVID-19 serta ICU dan dewan bedah (repurpose ICU) dikhususkan untuk perawatan COVID-19. Ini menyebabkan kes-kes pembedahan tidak dapat dijalankan.

vi. Kaedah yang sedang dikaji bagi menyelesaikan isu tunggakan:

  • memperluas lagi penyumberluaran
  • pembukaan repurpose OT secara berperingkat
  • memperluas lagi tempoh pengoperasian pembedahan pada hari Sabtu dari 5 jam ke 8 jam, dan jika perlu dilanjutkan ke hari Ahad

Seperti yang disebut oleh YB Menteri Kesihatan, KKM akan melihat secara khusus perkara ini dan akan mengadakan perbincangan dgn hospital ATM, Hospital Pengajar Universiti dan hospital swasta berkaitan perkara yang boleh dibantu bagi menyelesaikan situasi ini.

Sumber: Sidang Media Khas Menteri Kesihatan 24 September 2021

Rujuk : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM

Next Post Previous Post