SITUASI SEMASA BERKAITAN COVID-19 DI NEGERI SARAWAK SEHINGGA 26/09/2021
Negeri Sarawak telah mencatatkan bilangan kes harian COVID-19 melebihi angka 1 ribu berturut-turut sejak 18 Ogos 2021. Walaupun majoriti kes adalah pesakit kategori 1-2 yang tidak bergejala dan bergejala ringan (75-85%), secara kumulatif kes kategori 3-5 juga akan meningkat kerana menggunakan katil di hospital dan ICU dalam satu tempoh tertentu. Pesakit kes kategori 4 & 5 contohnya secara purata mengambil tempoh sehingga 2-4 minggu untuk dirawat di ICU.
Terdapat 31 buah hospital di Sarawak yang menyediakan rawatan untuk pesakit COVID-19, dan kesemua hospital ini adalah berstatus hybrid (merawat pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19) di mana 8 daripadanya adalah hospital swasta. Jumlah katil hospital bukan kritikal COVID-19 (swasta dan KKM) adalah 1,231 buah manakala jumlah katil ICU COVID-19 (swasta dan KKM) adalah 121 buah.
Sebelum ini, KKM telah bekerjasama dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mewujudkan sebuah Hospital Medan berkapasiti 40 katil di Dewan Masyarakat Melayu Kapit untuk pesakit bukan COVID-19 yang beroperasi dari 10 Mei 2021 hingga 20 Ogos 2021.
Terkini, sebuah Hospital Medan berkapasiti 80 katil telah diwujudkan di Hospital Umum Sarawak pada 15 September 2021 untuk rawatan pesakit COVID-19 dengan kerjasama MERCY Malaysia. JKN Sarawak juga sedang berbincang dengan pihak MERCY Malaysia untuk mewujudkan Hospital Medan di Hospital Sibu dan Hospital Miri dengan jangkaan kapasiti 50 hingga 100 katil dalam masa yang terdekat.
KKM juga mengubah suai ruangan tertentu (repurposed area) untuk dijadikan wad dan ICU sementara. Antaranya adalah menyediakan satu modular ICU dengan kapasiti
10 katil di Hospital Sibu yang dijangka akan beroperasi bulan Oktober 2021.
Selain itu, KKM akan mempertingkatkan penyumberluaran (outsourcing) perkhidmatan perubatan ke hospital swasta bagi mengurangkan masa menunggu pesakit yang perlu menjalani pembedahan atau prosedur kritikal seperti perawatan jantung dan kanser.
Kapasiti katil bagi merawat pesakit COVID-19 turut dipertingkat dengan penyediaan PKRC bagi merawat pesakit COVID-19 kategori 1, 2, 3 dan 4.
Semoga segala usaha kita dipermudahkan, Insya Allah.
sumber : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM