STRATEGI PEMBUKAAN SEMULA NEGARA: KEMUDAHAN PORTAL HOME QUARANTINE APPLICATION (HQA) SECARA ATAS TALIAN
Selari dengan strategi pembukaan semula dengan selamat atau reopening safely, YB Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan telah melancarkan Portal Home Quarantine Application (HQA) pada 20 September 2021 yang lalu. Ini sebagai salah satu persiapan menghadapi pertambahan kemasukan pengembara dari luar negara atas pelbagai tujuan.
HQA telah mula digunapakai sejak 21 September 2021. Portal khas ini diwujudkan bagi memudahkan urusan permohonan kuarantin di rumah atau tempat kediaman kepada pengembara dari luar negara yang tiba di Malaysia melalui pelbagai Pintu Masuk Antarabangsa (PMA). Menerusi Portal HQA ini, pemohon perlu mengemukakan permohonan di antara tujuh (7) hari ke 10 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.
Setelah seminggu HQA dilancarkan, iaitu sehingga 12 tengah hari 28 September 2021, portal HQA telah menerima sebanyak 4,883 permohonan lengkap. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,741 permohonan telah diproses (35.7 peratus) dan sebanyak 1,612 telah diberi kelulusan (33.0 peratus) untukmenjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman.
Daripada sejumlah 5,947 individu pemohon tersebut, kebanyakannya melibatkan pemohon warganegara Malaysia iaitu seramai 3,921 orang (65.9 peratus), diikuti oleh bukan warganegara 1,910 orang (32.1 peratus) dan pemastautin tetap Malaysia iaitu sebanyak 116 orang (2.0 peratus).
Walau bagaimanapun, sistem permohonan atas talian ini masih dalam proses peralihan dan dijangkakan portal ini akan digunakan secara sepenuhnya mulai Oktober 2021. KKM mensasarkan lebih banyak permohonan akan dapat diselesaikan dalam tempoh kurang dari tiga (3) hari selepas ini. Sistem ini juga akan ditambah baik dari semasa ke semasa, dan KKM mengucapkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama dan cadangan yang telah diberikan.
Selain itu, KKM ingin menasihati semua pemohon yang telah diberikan kemudahan tersebut agar mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin di rumah sepenuhnya agar dapat mengurangkan risiko daripada menyebarkan penyakit COVID-19 kepada keluarga dan komuniti. Perihal ini amat penting bagi mengelakkan penularan varian-varian yang baharu terutamanya Variant of Concern (VOC) atau Variant of Interest (VOI) ke dalam negara. Marilah kita bersama-sama berganding bahu bagi menjayakan proses pembukaan semula dengan selamat (reopening safely).
Keterangan lanjut mengenai portal ini boleh didapati di laman sesawang: