COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Kenyataan Akhbar KPK 10 Ogos 2021 – Situasi Terkini Pengesanan Jangkitan Kes COVID-19 dan Penilaian Risiko Penularan Jangkitan di Parlimen

/ Parlimen Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini pengesanan kes COVID-19 yang berkait dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang telah diadakan pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021, bertempat di Dewan Parlimen Negara, Kuala Lumpur. Seperti yang dilaporkan dalam Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan pada 7 Ogos 2021, sejumlah 88 kes COVID-19 dikesan di mana 56 kes adalah hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dengan empat (4) kes kontak rapat; 17 kes dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat dengan tiga (3) kontak rapat dan lapan (8) kes saringan Pra-Dewan Negara.

Terkini terdapat penambahan sembilan (9) lagi kes yang berkaitan dengan sidang Parlimen tersebut. Ini menjadikan keseluruhan kes dikesan berkaitan persidangan Parlimen adalah 97 kes. Sembilan (9) kes tersebut adalah:

  • empat (4) kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 hasil saringan semasa Pra-Dewan Rakyat. Empat (4) kes ini baharu dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan dikesan positif COVID-19 menggunakan RTK Ag pada 23 Julai 2021. Kesemua kes didapati begejala ringan dan telah diberi Perintah Pengawasan dan Kawalan (HSO) di rumah. Kesemua mereka juga telah pulih dan mulai bekerja setelah tamat HSO;
  • satu (1) kes baharu dilaporkan pada 10 Ogos 2021 di mana kes ini juga merupakan kes kematian pertama yang baharu dikesan positif COVID-19 dengan ujian RT PCR pada 31 Julai 2021. Kes ini telah hadir semasa persidangan Dewan Rakyat; dan
  • empat (4) kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang telah hadir semasa persidangan Dewan Rakyat. Satu (1) kes mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR 19.62 (kebolehjangkitan yang tinggi), manakala yang lainnya adalah di antara 32.76 sehingga 36.07;
  • Enam (6) kes telah lengkap mendapat dua (2) dos vaksin, dan dua (2) lagi kes adalah kanak-kanak (kontak rapat kes) yang belum layak mendapat vaksin.

Kes kematian yang telah dinyatakan di atas adalah melibatkan pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai sejarah hadir ke Parlimen 26 – 29 Julai 2021. Ujian saringan pra Dewan Rakyat (23 Julai 2021) dan ujian RTK-Ag Self-Test Kit Saliva (29 Julai 2021) adalah negatif. Beliau kemudiannya menunjukkan gejala pada 31 Julai 2021 dan positif ujian PCR dengan nilai kitaran ambang atau CT value 14.88. Keadaan beliau bertambah teruk dan telah dimasukkan ke hospital pada 4 Ogos 2021 untuk rawatan lanjut. Namun keadaan beliau amat kritikal dan meninggal dunia pada 9 Ogos 2021.

Hasil siasatan KKM setakat ini mendapati walaupun kes-kes positif ini tidak mempunyai hubungkait antara satu sama lain kecuali kontak rapat, namun perkongsian bilik dan kemudahan asas seperti tandas, surau dan ruang makan oleh ramai individu telah memberi risiko kepada penularan jangkitan COVID-19 di Parlimen.

Adalah dimaklumkan bahawa lapan (8) sampel kes Parlimen yang mempunyai CT value rendah telah dihantar ke IMR untuk ujian genomik. Didapati sebanyak lima (5) daripadanya adalah varian VOC Delta manakala dua (2) sampel tidak berjaya diproses dan satu (1) sampel lagi masih menunggu keputusan.

Rujuk jadual berikut untuk ringkasan status terkini.

RINGKASAN KESELURUHAN KES POSITIF COVID-19 BERKAITAN SIDANG MESYUARAT KHAS PARLIMEN (SEHINGGA 10 OGOS 2021)

parlimen1

Justeru, adalah dinasihatkan supaya individu yang hadir ke Parlimen untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala, mereka dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan mendapatkan rawatan segera.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
10 Ogos 2021 @ 7:00 petang

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post