SITUASI JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA: PENULARAN MASIH DALAM SITUASI GENTING
KKM ingin memaklumkan status terkini situasi jangkitan COVID-19 di Malaysia bagi tempoh dua (2) minggu epidemiologi (ME) iaitu ME ke-21 (dari 23 Mei 2021 hingga 29 Mei 2021) dan ME ke-22 (dari 30 Mei 2021 hingga 5 Jun 2021).
Jumlah kes positif COVID-19 harian jangkitan tempatan
Statistik menunjukkan penurunan jumlah kes positif COVID-19 pada ME ke-22 iaitu sebanyak 1,379 kes (penurunan sebanyak 2.6 peratus) berbanding ME ke-21. Situasi ini adalah susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 oleh kerajaan bermula pada 12 Mei 2021. Namun begitu dalam tempoh yang sama, jumlah kes aktif didapati terus meningkat berikutan peningkatan kes yang mendadak pada ME ke-20 dan ME ke-21. Pada awal ME ke-21 (23 Mei 2021), jumlah kes aktif adalah sebanyak 57,022 kes dan pada awal ME ke-22 (30 Mei 2021), ianya meningkat kepada 78,017 kes [peningkatan sebanyak 20,995 kes (37 peratus)]. Meskipun terdapat penurunan 2.6 peratus kes mingguan, namun jumlah kes aktif masih terus meningkat. Pada 8 Jun 2021, jumlah kes aktif COVID-19 yang masih dalam rawatan dan pemerhatian adalah sebanyak 82, 797 kes.
Kapasiti dan keupayaan fasiliti kesihatan
Sehingga 6 Jun 2021, kadar penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 bukan ICU di hospital menunjukkan sedikit penurunan dalam tempoh dua (2) minggu, iaitu dari 99 peratus kepada 89 peratus, begitu juga dengan kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) adalah sebanyak 54 peratus. Walau bagaimanapun,kadar penggunaan katil COVID-19 di ICU telah meningkat dari 96 peratus pada 24 Mei 2021 hingga 104 peratus pada 6 Jun 2021. Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU.
Tempoh rawatan di fasiliti kesihatan (Kategori 4 dan Kategori 5)
Hospital-hospital di seluruh negara sedang berhadapan dengan peningkatan kes COVID-19 bergejala serius (kategori 4 dan 5) yang memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan khususnya di kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity). Pesakit-pesakit ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan COVID-19. Statistik yang diterima oleh CPRC Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori 4 adalah di antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula, tempoh rawatan adalah selama 19 hari ke 26 hari.
Kesinambungan daripada situasi yang dinyatakan, KKM ingin mengingatkan semua pihak bahawa situasi penularan COVID-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius. Bahaya penularan COVID-19 dan kapasiti hospital (terutama ICU) bagi menampung kes-kes COVID-19 adalah di tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa walau untuk sehari sekali pun. Situasi ini tidak boleh diambil ringan, terutama sekiranya ada pihak yang menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai situasi semasa ini.
Oleh itu, KKM mengingatkan masyarakat untuk sentiasa mengamalkan perkara-perkara berikut;
- Kekal duduk di rumah dan hanya keluar jika perlu;
- Amalkan norma baharu dan patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM;
- Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif. Sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen, maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri (self-notification) di aplikasi MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan. Bawa keputusan ujian dan hadir ke COVID-19 Assessment Centre (CAC) yang berdekatan di daerah anda untuk penilaian lanjut. Untuk senarai terkini CAC rujuk: http://covid-19.moh.gov.my/hotline ;
- Sekiranya dibenarkan untuk menjalani Home Surveilance Order (HSO), patuhilah segala peraturan. Jangan bercampur dengan ahli keluarga atau keluar dari rumah dalam tempoh ini. Anda berisiko menjangkiti orang lain. Sekiranya kesihatan anda merosot, hubungi perkhidmatan kecemasan dengan segera;
- Dapatkan maklumat berkenaan situasi terkini jangkitan COVID-19 daripada sumber yang diyakini kesahihannya; dan
- Daftarkan diri anda dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin COVID-19 serta hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdasarkan tarikh temu janji yang diberikan.
Semua individu perlu berperanan menjadi agen perubahan di dalam komuniti dan mengambil tanggung jawab bersama agar kesinambungan kehidupan normal dapat dikecapi semula dengan kadar segera.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM