PENINGKATAN PERATUSAN KLUSTER TEMPAT KERJA MASIH BERTERUSAN
Sehingga 14 Jun 2021, sejumlah 1,328 kluster tempat kerja telah dilaporkan. Sebanyak 624,246 individu telah disaring dalam kluster-kluster tersebut dengan 147,040 kes telah dikesan positif COVID-19 (kadar positiviti sebanyak 23.6 peratus). Walaupun tren kes mingguan di Malaysia menunjukkan penurunan dalam dua minggu ini, namun kluster-kluster tempat kerja terus menyumbang kepada pertambahan kluster-kluster baharu di Malaysia.

Kebanyakan kes-kes positif yang dilaporkan dalam kategori kluster tempat kerja ini terdiri daripada bukan warganegara Malaysia iaitu sebanyak 100,086 kes (68 peratus) berbanding warganegara iaitu sebanyak 46,954 kes (32 peratus). Sektor pengilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja, iaitu sebanyak 95,156 kes melibatkan 639 kluster.

Berikut adalah kluster-kluster tempat kerja yang masih aktif dengan kadar jangkitan yang tinggi di tempat kerja (Jadual 1). Usaha berterusan oleh majikan dalam menjalankan ujian saringan ke atas pekerja-pekerja amatlah dihargai sebagai langkah awal bagi membendung penularan jangkitan di tempat kerja.

Kementerian telah menetapkan pelbagai garis panduan dan SOP di tempat kerja seperti penjarakan fizikal, menghadkan jumlah pekerja yang hadir ke tempat kerja, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, didapati tahap kesedaran berkenaan kepentingan pelaksanaan SOP tersebut masih perlu dipertingkatkan. Masyarakat khususnya majikan dan pekerja-pekerja perlu menyedari bahawa kepatuhan kepada garis panduan adalah untuk kebaikan mereka juga.
Terdapat juga segelintir masyarakat yang hanya mengambil berat berkenaan pematuhan SOP apabila terdapat penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan. Kelekaan inilah yang banyak mengundang kepada peningkatan kes COVID-19 terutamanya di tempat kerja. Justeru, KKM berpendapat penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja wajar dipertingkatkan dalam usaha untuk terus mengekang jangkitan COVID-19 khususnya melibatkan kluster-kluster di tempat kerja.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM