COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

KEMASKINI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)

KKM telah menubuhkan Pusat Penilaian COVID-19 (COVID-19 Assessment Centre – CAC) yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk penilaian individu yang disahkan positif sebelum ditentukan sama ada sesuai untuk menjalani isolasi dan pemantauan kendiri di rumah atau memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PRKC) / hospital.

Inisiatif ini dilaksanakan bagi mengenalpasti kes-kes COVID-19 yang memerlukan rawatan lanjut dirujuk ke PKRC atau hospital, manakala kes-kes COVID-19 yang stabil dibenarkan menjalani pemantauan kendiri di rumah. Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan kesesakan di hospital ketika negara sedang menghadapi peningkatan kes COVID-19 yang mendadak. Oleh itu, pesakit COVID-19 Kategori 1 (tidak bergejala) dan Kategori 2 (bergejala ringan) akan dipantau oleh CAC manakala pihak hospital akan merawat pesakit Kategori 3 dan ke atas. PKRC pula adalah penempatan untuk Pesakit Kategori 1 dan 2 yang tidak layak untuk menjalani isolasi dan pemantauan kendiri di rumah.

Tujuan penubuhan CAC:

  • Mengenalpasti pesakit yang bersesuaian untuk dipantau di rumah atau perlu dimasukkan ke PKRC / hospital;
  • Memantau dan menilai perkembangan pesakit di rumah menggunakan Borang Pemantauan di rumah / MySejahtera; dan
  • Menyelaras rujukan pesakit ke PKRC / hospital jika perlu.

Kriteria pesakit yang boleh menjalani pemantauan di rumah atau Home Surveilance Order (HSO):

Dewasa:

  • Berumur < 60 tahun Kategori 1 dan 2 (gejala ringan). Bagi yang berumur ≥ 60 tahun, perlu dimasukkan ke PKRC / hospital.

Kanak-kanak:

  • Kategori 1: Semua kanak-kanak yang tiada co-morbidity dan mempunyai penjaga yang sesuai;
  • Kategori 2: Hanya kanak-kanak berusia 2 tahun atau lebih yang tiada co-morbidity dan mempunyai penjaga yang sesuai.

Keadaan di rumah yang sesuai:

  • Mempunyai kemudahan telefon;
  • Pesakit patuh pada SOP (tinggal di bilik berasingan dari penghuni lain, sebaik-baiknya mempunyai tandas di bilik tersebut);
  • Tiada penghuni yang berisiko tinggi;
  • Pesakit mempunyai penjaga yang sesuai di rumah tersebut.

Pada Januari 2021, sebanyak 148 CAC telah memulakan operasi dan sehingga kini ia berkembang kepada 198 CAC di seluruh negara. Setiap CAC mempunyai pasukan yang terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat, dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP).

Peningkatan jumlah kes COVID-19 yang mendadak sejak April lalu menyebabkan beban tugas anggota di CAC bertambah. Terdapat peningkatan 150% daripada jumlah kedatangan pesakit ke CAC, iaitu dari 4,000 sehari ke 10,000 sehari pada 5 Jun 2021. Begitu juga dengan jumlah kes aktif dalam pemantauan CAC yang meningkat 108% dari 5,300 sehari ke 11,000 sehari. Selain itu, terdapat peningkatan jumlah kes yang memerlukan rujukan ke hospital (step up care) bagi tempoh dari 23 Mei hingga 5 Jun 2021 iaitu dari 9 kes kepada 35 kes.


Jadual 1: Jumlah CAC Mengikut Negeri Sejak Mula Dilancarkan pada Januari 2021


Rajah 1: Jumlah kedatangan pesakit COVID-19 ke CAC

Peningkatan beban kerja dalam tempoh yang singkat menyebabkan kekangan talian telefon bagi menerima panggilan dari pesakit, serta petugas untuk membuat dan menerima panggilan. Ini menyebabkan berlaku kejadian panggilan ke CAC tidak berjawab. Situasi ini menyebabkan kegelisahan kepada pesakit yang sedang menjalani pemantauan di rumah mengenai status kesihatan semasa. Khususnya apabila mereka melaporkan wujudnya gejala baru atau kemerosotan gejala dalam sistem MySejahtera tetapi masih belum diambil tindakan oleh CAC.


Rajah 2: Trend kes yang dalam pemantauan CAC yang dirujuk ke Hospital.

Oleh itu, bagi menambahbaik proses pemantauan oleh CAC, KKM dalam proses mewujudkan Call Center untuk membantu CAC bagi perkara berikut:

  1. Menerima panggilan daripada pesakit yang bergejala untuk disalurkan ke CAC berkaitan;
  2. Menerima panggilan berkaitan pertanyaan umum berkaitan HSO / Home Monitoring; dan
  3. Menyalurkan panggilan kecemasan ke MERS 999 (Malaysian Emergency Response Services).

Sebagai permulaan, ianya akan dilaksanakan di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mempunyai beban kes yang tinggi. Selain itu, KKM juga akan menambah talian telefon di 33 buah CAC di tiga (3) negeri tersebut bagi mengurangkan kesesakan talian telefon.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post