SITUASI DAN MAKLUMAT TERKINI MENGENAI MUTASI “PROTEIN SPIKE” COVID-19 DI MALAYSIA
Susulan daripada penemuan 21 kes varian South African B.1.351 yang telah dilaporkan KKM dari bulan Januari sehingga Mac 2021, survelan genomik COVID-19 terus dijalankan dan telah melibatkan lebih banyak sampel dari kebanyakan negeri di seluruh negara.
Terkini, melalui survelan genomik yang dijalankan ke atas 59 sampel COVID-19 dari 24 April 2021 sehingga 2 Mei 2021, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengenalpasti dan mengesahkan 30 lagi kes Variant of Concern (VOC) dan satu (1) kes Variant of Interest (VOI). Ini merangkumi;
- 27 kes baharu tempatanCOVID-19 yang dijangkiti varian South African B.1.351;
- Tiga (3) kes baharu tempatan COVID-19 yang dijangkiti varian UK B.1.1.7; dan
- Satu (1) kes import baharu yang dijangkiti varian Indian B.1.617.1.
Pengesanan Variant of Interest (VOI)
i. Variant Indian B.1.617.1
Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian COVID-19 dari India, dengan mutasi berganda iaitu B.1.617.1. Kes ini melibatkan dan mempunyai sejarah perjalanan ke Mumbai, India. Beliau telah masuk ke Malaysia menggunakan pas pekerjaan pada 10 April 2021 dan dikesan positif COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) pada hari yang sama. Kes dikenalpasti dijangkiti varian Indian B.1.617.1 hasil analisis jujukan genom penuh (WGS). Kes telah diasingkan dan sedang menerima rawatan.
Malaysia telah mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari India, dan melanjutkan tempoh kuarantin 14 hari kepada pengembara warganegara dari India sejak 28 April 2021 berikutan penularan varian B.1.617.1 yang semakin membimbangkan.
Pengesanan Variant of Concern (VOC)
i. Varian South African B.1.351
Sehingga 2 Mei 2021, varian South African B.1.351 untuk pertama kalinya mula dikesan di Perak dan Kelantan melibatkan dua (2) kluster. Selain daripada itu, terdapat tujuh (7) kes lain dikesan di Selangor. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes tempatan COVID-19 varian South African B.1.351 adalah sebanyak 48 kes.
ii. Varian UK B. 1.1.7.
Terdapat pertambahan tiga (3) kes baharu tempatan COVID-19 yang dijangkiti varian UK B.1.1.7 yang telah dikesan di Selangor dan Sabah. Ini menjadikan jumlah kes yang dijangkiti varian UK B.1.1.7 sehingga kini adalah sebanyak lapan (8) kes.
KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan CPRC Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi varian SARS-CoV-2 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.
Rujuk : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM