Penjelasan Mengenai Kes Pertama Varian B.1.617.1
Semalam (03 Mei 2021), ramai yang memviralkan mengenai status empat penerbangan Malaysia Airlines daripada India yang tiba di KLIA. Dalam satu kenyataan media pada 3 Mei 2021, YB Menteri Pengangkutan menyatakan :
“Selari dengan arahan Kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuatkuasa pada 28 April 2021, SEMUA penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia. Hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan pada masa ini. SEMUA penerbangan MH yang menjadi viral di media sosial merupakan PENERBANGAN KARGO.”
Ramai yang beranggapan kes pertama kemasukan varian COVID-19 dari India, dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1. yang diumumkan semalam hadir menerusi penerbangan Mas Airlines pada hari sebelumnya. Anggapan itu salah sama sekali.
Ini kerana, individu tersebut telah masuk ke Malaysia menggunakan pas pekerjaan pada 10 April 2021 dan dikesan positif COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) pada hari yang sama. Kes ini telah diasingkan dan sedang menerima rawatan.
Kes dikenalpasti dijangkiti varian Indian B.1.617.1 (P1) hasil analisis jujukan genom penuh (WGS).
Malaysia telah mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari India, dan melanjutkan tempoh kuarantin 14 hari kepada pengembara warganegara dari India sejak 28 April 2021 berikutan penularan varian B.1.617.1 yang semakin membimbangkan.
Rujuk : FB KKM