COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

SOP Khusus Untuk Pengembara Yang Baru Tiba Dari Negara Yang Melaporkan Penularan Virus SARS-CoV-2 Jenis VOC

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini telah mengesahkan perkembangan mutakhir di banyak negara yang melaporkan virus SAR-CoV-2 Variant of Concern (VOC) jenis baharu. Ada di kalangan varian ini telahpun dikesan di Malaysia, misalnya varian B.1.351 atau South African variant.

Melihat kepada perkembangan pelaporan beberapa jenis VOC baharu lagi di banyak negara luar, adalah dikhuatiri varian ini kemungkinan boleh dibawa masuk oleh pengembara yang mengembara ke Malaysia.Virus SARS-CoV-2 penyebab jangkitan COVID-19 kerap bermutasi bagi memastikan kelangsungan hidupnya (survival) di dalam persekitaran bersama manusia. Perubahan ini menyebabkan wujudnya varian bagi virus SARS-CoV-2. Variant of Concern (VOC) atau varian yang membimbangkan ini adalah apabila ia boleh menyebabkan berlakunya:

i. Penularan jangkitan berlaku dengan pantas.
ii. Jangkitan dengan gejala teruk dan komplikasi. Ini termasuk peningkatan kemasukan kes ke dalam wad dan unit rawatan rapi serta berlakunya kematian.
iii. Kurang keberkesanan perlindungan yang diberikan oleh vaksin.
iv. Kesukaran mengesan jangkitan melalui ujian makmal tertentu.

Varian virus SAR-CoV-2 yang mempunyai ciri-ciri di atas dipanggil variant of concern (VOC). Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada masa terdapat tiga (3) jenis varian yang membimbangkan; iaitu:

i. B.1.351 yang pada mulanya dilaporkan di Afrika Selatan;
ii. B.1.1.7 yang pada mulanya dilaporkan di United Kingdom; dan
iii. B.1.1.28 atau P1 yang pada mulanya dilaporkan di Brazil/Jepun

Kini varian yang membimbangkan ini (VOC) telah mulai merebak ke seluruh dunia. Sehubungan dengan itu, sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan VOC jenis baharu di Malaysia, Kerajaan telah menetapkan beberapa perkara ke atas pengembara yang baru tiba dari negara yang melaporkan penularan virus SARS-CoV-2 jenis VOC dalam komuniti, iaitu:

i. Menjalani swab sampel bagi ujian pengesanan jangkitan COVID-19 tiga (3) hari sebelum tarikh berlepas;
ii. Dikehendaki menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (kuarantin) di stesen kuarantin;
iii. Tempoh kuarantin dipanjangkan dari 10 hari kepada 14 hari;
iv. Selain dari di atas tindakan yang perlu dilakukan oleh pengembara yang baru tiba di Malaysia termasuk mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa hendaklah diteruskan seperti berikut:

  1. Memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera dalam telefon bimbit sebelum tiba di Malaysia;
  2. Menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar kod QR semasa ketibaan pengembara di pintu masuk antarabangsa (PMA);
  3. Melalui saringan demam dan gejala;
  4. Memantau status kesihatan kendiri selama 14 hari dari tarikh ketibaan ke Malaysia. Sekiranya bergejala, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan untuk penilaian selanjutnya;
  5. Kekal tinggal dalam stesen kuarantin dan tidak keluar bilik;
  6. Mematuhi SOP, perundangan dan peraturan berkaitan dengan pengurusan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia pada setiap masa; dan
  7. Menjalani swab sampel kedua bagi ujian pengesanan jangkitan COVID-19 pada hari ke 10 semasa dalam tempoh kuarantin

SUMBER : KENYATAAN MEDIA MENTERI KANAN PERTAHANAN, 24 APRIL 2021

Next Post Previous Post