COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Vaksin elak varian mutasi COVID-19 yang lebih bahaya

/ B1.1.7, #LindungDiriLindungSemua

SEJAK dikesan di UK pada September 2020, varian mutasi COVID-19 iaitu B.1.1.7 telah tersebar ke lebih 90 buah negara.

Sekumpulan penyelidik diketuai Prof Nicholas G. Davies dari London School Hygiene and Tropical Medicine telah menerbitkan data terbaharu pada 15 Mac lalu yang menunjukkan varian ini bukan sahaja lebih mudah menjangkiti, malah menyebabkan gejala yang lebih teruk dan lebih banyak kematian berbanding varian lain.
Di Malaysia, varian ini dikesan pada 9 Januari 2021 daripada pengembara yang pulang dari UK manakala kes kedua dikesan daripada pengembara yang pulang dari UAE pada 5 Februari 2021. Mereka telah menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin.

Selain varian ini, terdapat dua lagi varian baharu yang dikesan mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi berbanding varian asal dari Wuhan iaitu varian B.1.351 dari Afrika Selatan dan P.1 dari Brazil. Kemunculan varian-varian baharu ini mencetuskan kebimbangan tentang keberkesanan vaksin yang sedia ada.
Kebanyakan negara masih terus menutup sempadan mereka bagi membendung penularan varian baharu ini walaupun program imunisasi secara besar-besaran giat dijalankan.

Kawalan sempadan darat, udara dan air terus diperketatkan bagi memastikan virus ini dapat dibendung.

Lebih penting, kepatuhan pada norma-norma baharu wajib diteruskan kerana virus ini akan terus bermutasi sehingga keseluruhan komuniti dilindungi.

Negara kita mensasarkan untuk selesaikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada akhir tahun ini untuk membentuk herd immunity lebih awal bagi mengawal wabak ini.

Rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas perlu daftar untuk vaksin bagi menjayakan sasaran ini supaya kita dapat menikmati lebih banyak kebebasan.

Daftar awal memudahkan temujanji diatur seterusnya melancarkan proses pemberian vaksin sekurang-kurangnya 126,000 suntikan sehari untuk fasa 3.

Daftar melalui MySejahtera, laman web vaksincovid.gov.my atau hotline 1800-888-828.

LindungDiriLindungSemua

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post