PERDANA MENTERI SELAMAT TERIMA SUNTIKAN DOS KEDUA VAKSIN COVID-19
PUTRAJAYA, 17 Mac - Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin Perdana Menteri Malaysia telah selamat menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19, hari ini, selang 21 hari selepas dos pertama yang telah di terima pada 24 Februari 2021 yang lalu.
YAB Perdana Menteri menerima suntikan vaksin COVID-19 dos kedua Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya. Dengan ini, YAB Perdana Menteri telah menerima dua dos lengkap Vaksin Pfizer yang akan memberi perlindungan terhadap jangkitan COVID-19.
Dimaklumkan juga, selepas menerima dos pertama pada 24 Februari lalu, YAB Perdana Menteri tidak mengalami sebarang kesan sampingan yang merbahaya, hanya kesan sampingan ringan iaitu sakit di tempat suntikan yang sembuh sendiri tanpa rawatan.
Selain YAB Perdana Menteri, Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat (4) lagi petugas kesihatan turut menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19.
YAB Perdana Menteri yang tiba di Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya kira-kira jam 2.00 petang, sebaik tiba terus ke kaunter pendaftaran dan seterusnya YAB PM dibawa ke bilik vaksinasi untuk menerima suntikan.
Turut serta, YB Dato’ Sri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg, Dato’ Mohd Shafiq Abdullah Ketua Setiausaha KKM, dan YBhg. Datuk Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI. Selesai menerima suntikan, YAB Perdana Menteri, Dr. Noor Hisham dan empat petugas kesihatan dibawa ke Bilik Pemerhatian untuk pemerhatian kesan sampingan (jika ada) antara 15 minit hingga 30 minit.
Hari ini ialah hari ke-21 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan masih berada di dalam fasa pertama. Sehingga 16 Mac 2021, jam 12.00 malam seramai 346,508 orang telah menerima dos pertama vaksin Pfizer- BioNTech atau 69.3% daripada jumlah sasaran keseluruhan penerima vaksin semasa fasa pertama, iaitu 500,000 orang. Pencapaian ini adalah amat baik dan KKM yakin fasa pertama yang akan berakhir pada penghujung April 2021 akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan baik seterusnya dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam pada itu, sehingga 16 Mac 2021, seramai 5.74 juta orang telah berdaftar sebagai penerima vaksin melalui sistem MySejahtera, untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam fasa kedua dan ketiga nanti. Daripada jumlah itu, 23.7% daripada 24.3 juta penduduk Negara berumur 18 tahun ke atas dan 12.6% adalah yang berumur 60 tahun ke atas dan 19.6% mempunyai komobiditi.
Kerajaan memandang serius keperluan kepada pengambilan vaksin COVID-19 ini dan menyeru lebih ramai yang akan mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 pada fasa seterusnya menggunakan pelbagai kaedah pendaftaran seperti melalui MySejahtera, laman sesawang www.vaksincovid.gov.my, talian hotline 1-800-888-828, pendaftaran di klinik dan hospital serta pendaftaran secara outreach.
Walapun kerajaan telah umumkan pengambilan vaksin COVID-19 adalah secara sukarela, besarlah harapan kerajaan agar mereka yang layak menerima suntikan vaksin COVID-19, berumur 18 tahun dan ke atas supaya mendaftar untuk mengambil vaksin COVID-19 bagi mencapai sasaran 80% penduduk, seterusnya membentuk imuniti kelompok agar pandemik ini segera dapat dihentikan.
Perlu diingatkan sekali lagi bahawa pematuhan kepada SOP dan arahan-arahan lain yang berkaitan dengan ordinan darurat perlu diteruskan walaupuan ada dalam kalangan kita yang sudah menerima vaksin COVID-19.
Yakinlah dengan usaha kerajaan. Bersatulah demi kesihatan sejagat.
LindungDiri
LindungSemua
SudahLengkap2Dos
SUMBER : FB KKM