KKM HARGAI PERUNTUKAN TAMBAHAN DI BAWAH PEMERKASA
KENYATAAN MEDIA : KKM HARGAI PERUNTUKAN TAMBAHAN DI BAWAH PEMERKASA
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana amat prihatin kepada para petugas barisan hadapan negara dalam mengawal penularan pandemik COVID-19.
Kementerian Kesihatan mengalu-alukan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri yang amat prihatin dan memahami pengorbanan 15,000 orang petugas barisan hadapan KKM yang bertugas di 950 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara. Bantuan Khas COVID-19 pada kadar RM200 sebulan kepada setiap petugas ini, adalah suntikan semangat untuk terus mempertingkat khidmat mereka kepada rakyat.
Bantuan ini amat bermakna kepada semua petugas dengan mengambil kira pertambahan tugas di dalam melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), sepanjang kira-kira setahun ini.
Selain itu, Kementerian Kesihatan juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan yang menaikkan peruntukan menjayakan PICK daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion bagi mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021.
Kementerian akan terus memberikan sedaya upaya kami untuk melaksanakan amanah ini supaya negara dapat keluar daripada pandemik COVID-19 dan seterusnya aktiviti ekonomi dapat diteruskan, sempadan negara dapat dibuka untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara.
DATO’ SRI DR ADHAM BABA
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
18 Mac 2021
Rujuk : [FB KKM](KKM HARGAI PERUNTUKAN TAMBAHAN DI BAWAH PEMERKASA)