MAJLIS MENANDATANGANI MANUFACTURING and SUPPLY AGREEMENT BAGI PEMBEKALAN VAKSIN COVID-19 PFIZER-BIONTECH BNT1262b DI ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DAN PFIZER (MALAYSIA) SDN. BHD
11 Januari 2021 -- Kementerian Kesihatan mewakili Kerajaan Malaysia telah menandatangani Manufacturing & SupplyAgreement (MSA) bagi pembekalan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech BNT1262b pada 11 Januari 2021, jam 10.30 pagi.
Majlis menandatangani perjanjian berkenaan telah dimeterai oleh YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, Menteri Kesihatan Malaysia bagi pihak Kerajaan Malaysia manakala pihak Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. diwakili oleh Puan Luksanawan Thangpaibool, CountryManager (Malaysia/Brunei) secara virtual di Pejabat Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya.
Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. melibatkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung bulan Februari 2021 meliputi 20% populasi penduduk Malaysia dengan 2 dos seorang. Perjanjian yang dimeterai pada hari ini adalah untuk fasa pertama dengan penghantaran vaksin ke seluruh Malaysia.
Kerajaan juga bersetuju untuk membuat perolehan bekalan tambahan 12.2 juta dos yang menjadikan jumlah keseluruhan vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b sebanyak 25 juta dos meliputi 39% populasi penduduk Malaysia dan akan diterima sepanjang tahun 2021.
Disediakan oleh:
Bahagian Perolehan dan Penswastaan
Kementerian Kesihatan Malaysia
11 Januari 2021
Rujuk : FB KKM