Kesiapsiagaan Hospital KKM Dalam Menghadapi Gelombang Ketiga Pandemik COVID-19
17 Disember 2020 - Gelombang ketiga pandemik COVID-19 di Malaysia telah bermula sejak 20 September 2020 di mana bilangan kes baru COVID-19 harian mulai meningkat ke tiga angka. Gelombang ketiga ini telah bermula di negeri Sabah dan juga melibatkan negeri lain di Semenanjung Malaysia seperti negeri Kedah, Selangor dan sebagainya. Pelbagai langkah yang telah diambil oleh KKM bagi persediaan terhadap peningkatan bilangan pesakit COVID-19 dengan mendadak susulan gelombang ketiga ini.
Sehingga 16 Disember 2020, terdapat 146 buah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara. Daripada jumlah ini, sebanyak 120 hospital yang mampu menjalankan saringan COVID-19. Sebanyak 48 hospital KKM yang telah disediakan untuk merawat pesakit COVID-19 di samping pesakit bukan COVID-19. Selain itu, 2 hospital universiti, iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya yang menyediakan perkhidmatan rawatan COVID-19, manakala Hospital Canselor Tunku Mukhriz, UKM turut bersedia jika diperlukan. Ini menjadikan jumlah hospital yang mampu merawat pesakit COVID-19 di seluruh negara ialah 50 buah dengan jumlah keseluruhan katil sebanyak 6,007. Kadar penggunaan katil untuk pesakit COVID-19 setakat ini ialah 48%.
Bagi memantapkan lagi kesiapsiagaan dalam menangani peningkatan kes COVID-19, KKM turut menyediakan katil tambahan menerusi pengwujudan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara bagi menempatkan pesakit COVID-19 Kategori 1 dan Kategori 2. Sehingga kini terdapat 86 PKRC yang sedang beroperasi secara aktif dengan kapasiti katil seluruh negara sebanyak 17,800 dan kadar penggunaan katil setakat ini ialah 43%. Dengan ini, bilangan keseluruhan katil rawatan COVID-19 di hospital dan PKRC seluruh negara adalah sebanyak 23,662 dengan kadar penggunaan sebanyak 44% setakat ini.
Tambahan dari ini, KKM turut mengambil langkah proaktif tambahan dengan pembukaan Hospital Medan di Tawau, Sabah untuk rawatan pesakit bukan COVID-19 bagi membolehkan Hospital Tawau menampung jumlah pesakit COVID-19 yang meningkat di Sabah. Selain itu, KKM turut mewujudkan Makeshift Hospital di dalam fasiliti Penjara Pokok Sena, Kedah bagi menempatkan Orang Kena Tahan (OKT) yang positif COVID-19. Kedua-dua inisiatif ini adalah dengan kerjasama antara KKM dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Jabatan Kerja Raya (JKR), serta agensi lain.
Di samping itu, PKRC MAEPS 2.0 juga beroperasi semula pada 9 Disember 2020 untuk kemasukan pesakit positif COVID-19 susulan peningkatan kes berikutan saringan yang dijalankan ke atas pekerja khususnya warga asing di kilang dan juga tapak binaan. Pada peringkat awal, MAEPS 2.0 menempatkan pesakit positif COVID-19 dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Selangor. Seterusnya, pesakit dari negeri lain seperti Negeri Sembilan, Pahang dan Perak akan ditempatkan di PKRC MAEPS 2.0 tertakluk kepada kapasiti. PKRC MAEPS 2.0 akan dibuka secara berfasa di mana fasa pertama dimulakan dengan kapasiti 650 dan akan ditambah mengikut keperluan berkemungkinan sehingga 10,000 katil. Sehingga 17 Disember 2020, sebanyak 3,100 katil telah disediakan dengan pengisian atau penggunaan sebanyak 2,840 katil iaitu 92%.
Sehingga 16 Disember 2020, kapasiti katil ICU di seluruh negara adalah 518 katil yang digunakan untuk pesakit COVID-19 dan yang disyaki COVID-19 dengan kadar penggunaan 30%. Manakala bagi bilangan ventilator, terdapat 1581 ventilator di seluruh negara. Daripada jumlah ini, sebanyak 71 ventilator sedang digunakan untuk pesakit COVID-19 dengan kadar 4%.
Sehingga kini, terdapat 63 makmal yang menjalankan ujian COVID-19 di seluruh negara dengan kapasiti ujian sebanyak 59,555 sehari, berbanding 29,789 ujian sehari di 45 makmal pada bulan Jun 2020. Peningkatan kapasiti makmal sebanyak 100% dalam masa 6 bulan ini adalah hasil kerjasama KKM dengan pelbagai pihak termasuk makmal Angkatan Tentera Malaysia, makmal Institut Genom Malaysia, makmal Hospital Universiti, dan makmal swasta.
Oleh itu, KKM berharap agar semua lapisan masyarakat akan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 dan menghentikan pandemik ini.
Datuk Dr. Hj. Rohaizat b. Hj. Yon
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)
Kementerian Kesihatan Malaysia
Rujuk : FB Program Perubatan KKM