Mutakhir ini, terdapat peningkatan kes positif COVID-19 yang ketara berikutan perluasan saringan ke atas para pekerja khususnya warga asing di kilang dan juga tapak binaan. Kebanyakan kes positif COVID-19 ini adalah daripada kategori 1 (iaitu individu yang tidak bergejala) dan kategori 2 (iaitu pesakit yang bergejala ringan). Mereka telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah serta hospital-hospital di bawah KKM.

Selain itu, jumlah kes positif dijangkakan akan kekal tinggi susulan perluasan saringan COVID-19 ke atas pekerja warga asing yang juga dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di enam (6) buah negeri. Negeri-negeri yang terlibat adalah Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Melihat kepada situasi ini, maka Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah mengaktifkan semula Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) atau PKRC (MAEPS) 2.0. Ini adalah sebagai langkah kesiapsagaan bagi menghadapi isu peningkatan kes susulan perluasan saringan dalam kalangan pekerja warga asing dan juga peningkatan kes di Lembah Klang.

PKRC (MAEPS) 2.0 ini akan dibuka secara berfasa dengan kapasiti maksima sebanyak 1,000 buah katil. Fasa pertama akan dimulakan pada hari ini, 9 Disember 2020 dengan kapasiti sebanyak 650 buah katil yang kemudian akan ditambah secara berperingkat. PKRC MAEPS 2.0 akan berfungsi untuk menempatkan pesakit-pesakit bukan warganegara yang sebelum ini telah diasingkan di Institut Latihan KKM (ILKKM) Sungai Buloh iaitu seramai 250 orang. Bilangan pesakit yang akan ditempatkan di PKRC MAEPS 2.0 dijangka meningkat minggu ini di mana dijangkakan seramai 400 orang pesakit baharu COVID-19 kategori 1 akan ditempatkan di fasiliti tersebut.

Pentadbiran PKRC (MAEPS) 2.0 ini akan diletakkan di bawah kawalan Ketua Komander Wilayah Tengah iaitu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. Ia merupakan satu kolaborasi di antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pelbagai agensi Kerajaan yang lain termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MAEPS sendiri.

KKM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas penglibatan pelbagai pihak dalam usaha pengaktifan semula PKRC (MAEPS) 2.0 ini.

Rujuk : FB KKM | KPKESIHATAN.COM - 09/12/2020

Next Post Previous Post