6 Kes Baharu Dikesan Di Kluster PUI Sivagangga

Perincian Kluster PUI Sivagangga setakat 6 Ogos 2020.

Sehingga 6 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 2,351 orang telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini:

  • 30 kes dikesan positif COVID-19;
  • 1,617 negatif; dan
  • 704 masih menunggu keputusan.

Pecahan warganegara bagi kes positif kluster ini adalah seperti berikut:

  • 25 warganegara Malaysia; dan
  • 5 bukan warganegara.

6 kes baharu telah dikesan dalam Kluster PUI Sivagangga pada hari ini.

Satu (1) daripada enam (6) kes baharu ini (iaitu kes ke-9032) mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarga beliau yang pernah mengunjungi kedai makan yang terbabit dalam kluster ini. Kes mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos 2020. Kes kemudiannya dikesan positif COVID-19 pada 5 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Ahli keluarga tersebut telah disaring untuk COVID-19 dan masih menunggu keputusan.

Lima (5) kes baharu selebihnya pula terdiri daripada satu (1) keluarga (iaitu kes ke-9033, 9034, 9035, 9036 dan 9037). Mereka mempunyai sejarah mengunjungi ke salah satu kawasan yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di negeri Kedah. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan.

Punca jangkitan dalam keluarga tersebut adalah masih di dalam siasatan. Keenam-enam kes ini merupakan kes-kes generasi kedua dalam Kluster PUI Sivagangga. Saringan kontak rapat kes-kes positif ini dan Active Case Detection diteruskan.

Ingin dimaklumkan daripada siasatan yang telah dijalankan ke atas kes ke-9023 dari Kulim (iaitu kes yang telah dilaporkan pada 5 Ogos 2020), seramai 15 kontak rapat beliau telah dikenal pasti dan disaring. Punca jangkitan kes ini adalah masih di dalam siasatan.

Next Post Previous Post